15 Julai 2010

Permit: Harakah hantar jawapan ke KDN hari ini

2 Syaaban 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Pihak pengurusan Harakah hari ini telahpun menghantar surat jawapan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung surat tunjuk sebab kedua yang diberikan kementerian itu semalam.

Perkara itu disahkan Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) ketika ditemui Harakahdaily di parlimen hari ini.

"Hari ini sebagai penerusan daripada perjumpaan dan perbincangan semalam, kita menghantar jawapan kita tengah hari ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Jawapan itu, katanya bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan KDN berhubung penerbitan dan pengedaran Harakah.

KDN semalam memberi tempoh tujuh hari kepada lidah rasmi PAS itu, bagi menjawab surat tunjuk sebab terbaru yang dikemukakan.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata tempoh itu bermula semalam dan jika gagal berbuat demikian tindakan tegas akan dikenakan termasuk menggantung penerbitan akhbar itu.

Semalam juga, Setiausaha Agung, PAS Datuk Mustafa Ali dan Kamaruddin hadir ke KDN bagi memberi penjelasan berhubung surat tunjuk sebab pertama KDN bertarikh 8 Julai lalu.

Ianya berhubung persoalan lambat menghantar lapan salinan Harakah kepada KDN setiap isu, menjual kepada bukan anggota PAS dan menjual di luar daripada tempat yang dibenarkan.

Biarpun sudah diadakan pertemuan kedua dua pihak, KDN menyatakan mereka masih memerlukan penjelasan bertulis dari Harakah.

"Kita yakin penjelasan kita munasabah dan sepatutnya diterima oleh kementerian," jelas Kamarudin lagi.

Penerbitan Harakah tamat permitnya pada 7 Julai lalu dan belum diperbaharui oleh kementerian hingga kini.

"Kita harap pihak KDN membuat penilain positif dan kita juga berharap menerima jawapan positif," katanya.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Para penulis dan sasterawan kini kian ramai mengemukakan karya mereka untuk siaran Harakah setelah merasakan sumbangan mereka kurang dilayan diakhbar arus perdana yang sebahagian besar siarannya melemparkan fitnah kepada pembangkang semata-mata. Kebelakangan ini pula khabarnya edaran akhbar arus perdana kian merosot. Kalau mahukan buktinya lihat sendiri Harakah.