20 Julai 2010

Sukan: K'tan nafi enggan kerjasama dengan pusat

7 Syaaban 1431 H

Kelantan menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri pimpinan PAS enggan memberi kerjasama kepada kerajaan pusat dalam memajukan bidang sukan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan Negeri, Abdul Fatah Mahmood, sebaliknya, berkata kerajaan negeri akan terus membantu badan-badan sukan di negeri itu mengikut kemampuan yang ada.

"Kami mengetepikan isu politik untuk membangunkan dan memajukan sukan demi kepentingan rakyat Kelantan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa kerajaan negeri itu tidak pernah membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dari segi kewangan dalam mengharungi saingan Liga Super.

Pada Isnin lalu, Ahmad Shabery, ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Machang, dilaporkan sebagai berkata tindakan kerajaan negeri itu jauh berbeza dengan kerajaan Kedah, yang juga di bawah pimpinan PAS, yang telah menyumbang RM2 juta setahun kepada persatuan bola sepak negeri itu.

Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri mengakui tidak mempunyai tanah di kawasan bandar untuk dijadikan pusat kegiatan sukan seperti gelanggang bola sepak atau futsal.

"Jika adapun ia melibatkan kawasan luar bandar," katanya.

Menurutnya, sesuatu projek kerajaan yang melibatkan pengambilan balik tanah memerlukan kos yang tinggi dan mengikut prosedur serta memakan masa.

"Jadi, tidak timbul isu kita (kerajaan negeri) tidak memberi kerjasama dalam pembangunan sukan ini seperti yang dibangkitkan oleh pemimpin politik seperti itu," katanya.

Katanya, beliau tidak mahu pembangunan sukan dikaitkan dengan isu politik kerana jika ini dicampuradukkan maka ia membantut usaha kerajaan negeri dan pusat dalam memajukan bidang berkenaan.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: