06 Ogos 2010

Air tercemar : Kualiti air menjadi tanda tanya?

24 Syaaban 1431 H
Oleh: Wirawan Islam

Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Tapah melahirkan rasa bimbang akan tahap kualiti air yang di bekalkan oleh Lembaga Air Perak (LAP) kepada penduduk sekitar Tapah, Bidor dan sebahagian dari kawasan Sungkai, Teluk Intan dan Bagan Datoh.

Walaupun pencemaran minyak diesel akibat dari tumpahan minyak dari lori pengangkut minyak dapat di kawal namun air yang diterima penduduk masih berbau diesel dengan agak kuat.

DPPK Tapah amat kesal dengan sikap seolah-olah lepas tangan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan masalah pencemaran ini apabila masih tiada notis rasmi memaklumkan tahap keselamatan penggunaan air yang telah tercemar oleh tumpahan minyak diesel khasnya bagi tujuan memasak makanan dan minuman.

DPPK Tapah juga tertanya-tanya adakah air yang kembali di bekalkan kini kepada semua penduduk yang terlibat selamat di gunakan untuk kegunaan penduduk seharian? Perkara ini masih menjadi tanda tanya kerana setakat kenyataan ini di tulis belum ada lagi notis atau peringatan rasmi oleh pihak LAP, Jabatan Kesihatan mahupun daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak bagi memaklumkan kualiti air yang telah di bekalkan kepada penduduk terlibat bermula daripada 3 Ogos yang lepas setelah 2 hari pemotongan air bekalan di lakukan sebelum itu.

DPPK Tapah amat bimbang akan kesan buruk yang boleh berlaku kepada kesihatan penduduk setempat yang kami percaya akibat daripada pencemaran air ini.

Hasil daripada pemerhatian kami mendapati pesakit akan mengalami simptom seperti muntah-muntah, sakit tekak, cirit-birit, sakit perut dan lain-lain simptom yang biasa berlaku akibat daripada pencemaran air dan golongan kanak-kanak adalah yang paling ramai menghidapinya.

Justeru kami amat berharap agar tindakan sewajarnya perlu di ambil dengan kadar segera kerana ini melibatkan kesihatan dan nyawa penduduk.

Datuk Dr.Mah Hang Soon selaku exco kerajaan negeri yang menjaga portfolio kesihatan dan alam sekitar perlu lebih proaktif dalam mencari alternatif penyelesaian kepada masalah ini serta mengambil berat masalah penduduk terlibat yang kesihatan mereka yang kini mungkin di ancam bahaya.

Jangan sekadar mengambil sikap tunggu dan lihat serta melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak yang lain.

Walaupun begitu DPPK Tapah ingin merakamkan setinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada setiap usaha siang dan malam yang di jalankan oleh pihak LAP dan agensi yang berkaitan dalam menguruskan masalah tersebut buat masa ini. Jasa dan usaha kalian amat kami hargai.

DPPK Tapah sekali lagi ingin mengingatkan pihak yang bertanggungjawab akan perlunya notis peringatan bagi memaklumkan perkembangan terkini kualiti air dari semasa ke semasa kepada semua penduduk yang terlibat.

Bekalan air bersih yang bebas pencemaran perlu sentiasa di bekalkan setiap masa dengan meningkatkan jumlah pengagihan bekalan air menggunakan lori tangki ke setiap pelusuk kampung, taman perumahan, restoran, kedai makan, sekolah dan semua tempat yang terlibat bagi tujuan memasak makanan dan minuman sehingga kualiti air kembali di sahkan bersih dan selamat untuk di gunakan.

DPPK Tapah berdoa semoga krisis pencemaran air ini dapat segera di atasi dan penduduk sekitar dapat kembali menikmati kehidupan yang berkualiti seperti sediakala.

Tiada ulasan: