06 Ogos 2010

Apa hak Umno nak tentukan kebebasan mahasiswa

24 Syaaban 1431 H
Oleh: Mohamad Izzuddin Hilmi

Kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bahawa sudah tiba masanya kepada kerajaan untuk menimbang kebenaran membenarkan mahasiswa di negara ini terlibat dalam politik dilihat suatu tindakan menongkah arus.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut ekoran dari peluang yang diberikan kepada guru-guru yang Gred DG41 hingga DG48 untuk bergiat aktif dalam politik. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan beberapa hari sebelum itu.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Datuk Saifuddin yang juga merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembabitan mahasiswa dalam politik.

Beliau juga menimbulkan persoalan mengapa tidak kita memberikan peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian.

Malah wujud juga pandangan dari pihak lain seperti Pergerakan Pemuda Umno agar mahasiswa dan pensyarah di IPT diberi hak yang sama untuk berpolitik.

Namun cadangan tersebut tidak disambut baik oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin. Baginya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) masih relevan.

Beliau yang berpendirian untuk tetap mengekang mahasiswa dari terus terlibat dengan politik menyanggah pendapat beberapa golongan yang ingin memberi kebebasan yang lebih kepada mahasiswa.

Beliau menyatakan bahawa universiti dikhuatiri akan menjadi 'gelanggang politik' sekaligus akan mengundang pelbagai masalah pada masa akan datang.Pendirian beliau jelas digambarkan melalui alasan yang telah diberikan.

"Kalau kita benarkan kedua-duanya (mahasiswa dan pensyarah) berpolitik, bayangkan jika pelajar itu orang Umno dan pensyarahnya orang PAS, apabila tidak lulus dia akan salahkan pensyarah. Macam-macam boleh berlaku."

Beliau juga mengingatkan bahawa pandangan tersebut perlulah dikemukakan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi mendapatkan keputusan.

Beliau juga mengatakan biarkan keputusan ini dibincang di peringkat Majlis Tertinggi Umno dan pihak yang tidak berkaitan tidak perlu membuat desakan sebegitu.

Di sini saya ingin pertikaikan.

Siapakah Majlis Tertinggi Umno ini?

Apakah bidangkuasa Majlis Tertinggi Umno menjangkau kuasa meminda atau mentafsir Akta Universiti dan Kolej Universiti yang diluluskan oleh Parlimen?

Mengapa urusan kebebasan mahasiswa harus ditentukan oleh Majlis Tertinggi Umno?Adakah ada pihak yang beranggapan mahasiswa ini milik Umno sepenuhnya?

Saya inginkan mahasiswa yang bebas. Bebas dari pengaruh mana-mana parti politik luar. Biarkan mahasiswa dengan politik mahasiswa sendiri.

Atas hasrat ingin memberi kelonggaran kepada mahasiswa, Auku 1971 diberi wajah baru dengan dilakukan beberapa pindaan pada tahun 2009.

Pindaan Auku ini dilihat 'modal besar' kepada pihak-pihak tertentu untuk dipuji dengan tindakan toleransi mereka terhadap mahasiswa.

Saya masih tidak nampak apakah perbezaan Auku dahulu jika dibanding Auku yang telah dipinda awal tahun 2009.

Setelah Auku dipinda berlaku pengheretan 2 mahasiswa UM yang dicas di bawah Auku (yang telah dipinda)hanya kerana menjemput seorang Adun Selangor ke Mesyuarat Agung Tahunan PMIUM.

Setelah Auku dipinda juga berlaku 4 orang mahasiswa UKM dituduh di Mahkamah Universiti kerana berada di Hulu Selangor sewaktu kempen pilihanraya berlangsung.

Setelah Auku dipinda juga seorang mahasiswa KUIS ditarik pinjaman PTPTN sebagai tekanan kepada beliau kerana dituduh berkempen di Hulu Selangor.

Di sini boleh tanya adakah pindaan Auku terdahulu hanya kosmetik dan tidak memberi sebarang kesan terhadap Auku itu sendiri?

Dari sudut pandang sisi yang lain, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia berusaha melahirkan produk insan yang hebat dalam pelbagai bidang.

Sistem serta bidang pengajian yang ditawarkan disajikan khas bagi mencapai hasrat tersebut.

Mahasiswa didedahkan dengan ilmu keusahawanan, ilmu kemahiran kendiri (soft skill) dan lain-lain penerapan ilmu yang berguna.

Tetapi malang ilmu politik seakan dianaktirikan dan seboleh mungkin dinafikan daripada mahasiswa.

Ilmu politik bukan hanya tertulis di atas nota-nota atau perlu dijawab sewaktu di dalam peperiksaan, ia perlu lebih dari itu.

Mahasiswa perlu menceburkan diri secara langsung ke arena politik. Kerana itu kebebasan perlu diberikan kepada mahasiswa dan jangan sesekali diugut atau ditakutkan mereka.

Jika benar mahu lahirkan mahasiswa yang segar jiwa dan celik pemikirannya, jangan sesekali dibenakkan mata hati mereka.

Dengan kebebasan, mahasiswa akan berani meneroka sesuatu. Dengan berpolitik mahasiswa akan tahu apakah makna politik yang sebenarnya.

Justeru usaha untuk terus menyekat mahasiswa adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Kementerian Pengajian Tinggi akan terus didesak agar menilai kembali Auku agar memastikannya ia dihapuskan agar akta ini tidak akan menjadi penghalang kepada mahasiswa.

Malah satu cabaran kepada Kementerian agar serius serta ikhlas memberi peluang kepada mahasiswa untuk berpolitik.Politik mahasiswa adalah politik yang matang.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: