06 Ogos 2010

Jie Lai Zhi Shi

24 Syaaban 1431 H

Memberi Makanan Untuk Menghina

Asal Usul:Pada suatu tahun dalam zaman Chunqiu (tahun 770-476 Sebelum Masihi), negeri Qi telah mengalami bencana kebuluran yang sangat teruk, sehingga menyebabkan ramai rakyatnya yang berada di ambang kematian.

Pada ketika itu, ada seorang lelaki kaya bernama Qian Ao yang tidak dapat menahan diri daripada berasa seronok apabila melihat begitu ramai orang miskin yang terseksa oleh kelaparan.

Dia menganggap dirinya sebagai tuhan yang amat pengasih, dan telah menyediakan makanan di tepi jalan, kononnya untuk bersedekah kepada mangsa yang lalu di tempat itu. Namun, setiap kali melihat mangsa yang lalu, dia akan memekik dengan nada yang angkuh dan menghina,"Hei, pengemis! Ambil makanan ini!"

Pada suatu hari, Qian Ao ternampak seorang lelaki yang amat daif sedang menuju ke arahnya dengan langkah yang longlai. Melihat orang itu begitu lapar sehingga tidak ada tenaga lagi untuk berdiri, Qian Ao pun menjerit padanya dengan nada yang mencemuh,"Hei kamu! Mari ke sini! Makan ini saja!"

Mendengar kata-kata Qian Ao itu, orang itu membeliakkan matanya sambil menjawab dengan suara yang tegas,

"Aku lebih rela kebuluran daripada makan makanan yang diberikan dengan niat untuk menghina begini!" Dia akhirnya mati kelaparan.

Qin Ao tidak menyangka bahawa orang yang sedang menderita kelaparan, masih mampu mengekalkan harga diri yang begitu tinggi.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Jie Lai Zhi Shi" ini berasal daripada kisah tentang seorang mangsa yang masih mengekalkan harga diri walaupun berada di ambang maut oleh kelaparan, dan lebih rela mati kebuluran daripada dihina atau dicaci. Peribahasa ini merujuk kepada benda atau sedekah yang diberikan kepada orang dengan niat untuk menghina.

CRI/-

Tiada ulasan: