16 Oktober 2010

Lee Boon Chye undur: Peluang muka baru?

07 Zulkaedah 1431 H

Kemungkinan besar barisan naib presiden PKR sesi akan datang dipenuhi dengan muka-muka baru apabila seorang penyandangnya Dr Lee Boon Chye memilih tidak mempertahankan jawatannya hari ini.

Dr Lee yang juga ahli parlimen Gopeng berkata, beliau mengambil keputusan itu bagi memfokuskan tugasnya sebagai wakil rakyat dan ketua cabang di situ.

"Saya ingin umumkan bahawa saya telah membuat keputusan tidak akan bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat dalam pemilihan PKR yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan itu dilihat mengejutkan sesetengah pihak kerana berdasarkan jumlah pencalonaan yang diterima, Dr Lee (kiri) agak selesa dengan lebih 40 pencalonan.

Dengan pengunduran itu, kemungkinan hanya dua daripada lima naib presidennya - R Sivarasa dan Datuk Dr Jeffry Kitingan - yang berpeluang kekal.

Ini kerana Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub kini membuat keputusan bertanding di tahap lebih tinggi bagi kerusi timbalan presiden PKR.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi pemimpin muda PKR Jonson Chong - bekas pengarah komunikasi - hari ini turut mengumumkan hasratnya turut bersaing bagi jawatan itu.

"Saya akan bersaing untuk naib presiden PKR dalam pemilihan 2010. Saya bekas pengarah komunikasi. Saya sertai parti pada 2004 bersama dengan PRM (Parti Rakyat Malaysia)," coretnya di laman Twitter.

Jonson (kiri) bagaimanapun difahamkan hanya mendapat kurang daripada lima pencalonanan daripada seluruh cabang yang bermesyuarat di seluruh Malaysia.

Setakat ini, difahamkan kira-kira 30 orang layak bertanding bagi merebut empat jawatan dalam pimpinan Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Antara yang mendahului di depan dengan pencalonanan terbanyak, Pengarah Pilihan Raua Fuziah Salleh, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr Mansor Othman dan ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: