07 Oktober 2010

YB AZMIN TERLALU SOPAN DENGAN MAHATHIR

27 Syawal 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

MALAYSIAKINI memetik kenyataan Presiden Majlis Belia Felda, "Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) mengutuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali yang menyifatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Australia kini sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur."

Presidennya Anuar Manap berkata kenyataan menghina oleh Azmin yang bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu merupakan usaha terdesaknya untuk meraih sokongan. (Malaysiakini)

Rupa-rupanya ada juga `anak jantan' tenaga muda dari Felda. Saya sebelum ini tidak pernah tahu dan tidak kenal siapa dia Anuar Manap ini. Maklumlah, sewaktu warga Felda dibelenggu dengan kesusahan dan masalah `ditipu' wang mereka,

suara ini tidak pula kedengaran. Terpaksa warga Felda ini mengadu ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan, dan diberitakan ada beberapa kes yang menyokong tuntutan warga Felda ini di mahkamah.

Secara tiba-tiba terpacul suara Presiden Majlis Belia Felda Malaysia ini, tetapi bukan untuk memperkatakan hal ehwal Felda dan permasalahannya tetapi bercakap darihal politik parti pembangkang pula.

Selama ini warga Felda pun tahu Pembangkanglah yang bersungguh-sungguh membela nasib mereka yang sering teraniayai ini. Apa pula kaitan YB Azmin dengan Felda? Jika YB Azmin menyebut bahawa Tun Mahathir `tersungkur' atau `tertiarap',

itu adalah gelaran yang terbaik buat Tun. Apa pula kena mengena gelaran tersebut dengan pemilihan pemimpin di dalam PKR?

Jika YB Azmin tidak menyebut darihal Tun Mahathir pun, semua orang tahu bahawa Tun Mahathir adalah seorang manusia yang suka menjahanamkan bangsanya sendiri. Umno rosak pun akibat tangan Tun Mahathir.

Sejak awal lagi iaitu semasa pertandingan merebut jawatan Presiden Umno di antara Tun Mahathir dengan Ku Li, Umno teruk berpecah sehingga diharamkan. Tun Mahathir `cipta' Umno baru selepas itu dan wujud pula Parti Melayu Semangat 46. Melayu berpecah ketika Tun berkuasa.

Tidak serik dengan itu, Tun Mahathir memecahkan lagi orang-orang Melayu apabila DS Anwar dipecatnya angkara fitnah liwat. Perpecahan orang-orang Melayu kali ini lebih hebat lagi dan terbentuk pula Parti Keadilan Rakyat sehingga sekarang. Itu belum dikira bagaimana Tun menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu.

Dalam aspek agama, usah dikira betapa Tun amat anti kepada PAS yang mahu perundangan Islam ditegakkan. Hukum menyimpan janggut yang menjadi `Sunnah' itu pun Tun boleh hinakan, apatah lagi yang wajib.

Jadi pada saya, gelaran yang diberi oleh YB Azmin itu tersangatlah penuh dengan budi bahasa jika dibandingkan dengan kerosakan yang telah dilakukan oleh Tun. Bukan kita tidak pernah dengar ada Menteri Umno yang menggelar Tun `nyanyuk'? Mengapa Presiden Majlis Belia Malaysia ini membisu ketika itu? Perkataan `nyanyuk' dan `tersungkur', mana lebih biadap?

Oleh yang demikian, suka kita ingatkan kepada Majlis Belia Felda ini agar lebih menumpukan kepada masalah-masalah warga Felda. Mereka perlu tahu ke mana `ghaib'nya wang-wang Felda.

Mereka mesti mendalami keluhan warga-warga Felda yang semakin susah sekarang walaupun baru sahaja mendapat duit raya tiga ratus lebih itu. Jangan sibuk pasal politik jika tidak tahu bagaimana orang politik `berperang'.

Tiada ulasan: