16 Disember 2010

Guan Eng sambut cabaran, dedah nilai kontrak bumi

10 Muharam 1432H

Kontraktor Melayu mendapat 100 peratus nilai projek Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) dan 98 peratus nilai projek Jabatan Kerja Raya negeri (JKR) di bawah peruntukan kerajaan Pulau Pinang, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Menurut kenyataannya, kesemua 18 tender JPS yang bernilai RM40.94 juta diperolehi oleh kontrak Melayu.

Manakala 16 daripada 17 tender JKR bernilai RM20.4 juta diperolehi oleh kontraktor Melayu yang membabitkan 98 peratus nilai kontrak.

Ini, tegas Lim, sekaligus menolak fitnah pemimpin Umno dan sekutunya yang mempertikaikan kenyataannya bahawa 70 peratus bidaan kontrak kerajaan negeri dimenangi kontraktor bumiputera.

Lim berkata, pemimpin Umno dan juga sekutu itu, seperti Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan mendakwa kenyataan itu tidak benar dan tidak mencerminkan realiti sebenar pengagihan projek secara adil.

"Datuk Mohamad Fadzill telah mencabar saya mendedahkan nilai tender yang dianugerahkan kepada kontraktor bumiputera kerana nilainya mungkin jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan habuan kontrak yang diterima kontraktor bukan bumiputera.

"Angka sedemikian dengan sendirinya membuktikan bahawa kontraktor Umno, seperti Datuk Mohamed Fadzil hasad dengki dan marah terhadap kerajaan negeri PR semata-mata kerana mereka tidak memenangi kontrak seperti yang dulu," katanya.

Lim yang juga setiausaha agung DAP mendakwa, atas kepentingan politik yang sempit, Umno dan BN menabur fitnah kerana tidak mendapat kontrak seperti dahulu.

"Kalau Datuk Mohamed seorang beriman, maka lebih baik beliau meminta maaf dan menarik balik fitnah terhadap kerajaan negeri PR (Pakatan Rakyat) Pulau Pinang," tambahnya.

Menurut Lim, urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) telah berjaya memartabatkan kontraktor Melayu dengan sistem tender terbuka.

Urustadbir CAT dan sistem tender terbuka, tambahnya, telah membuktikan bahawa kontraktor Melayu memang berdaya saing secara terbuka.

"Yang tak mampu saing hanya kontraktor Umno yang lembik, dayus dan bodoh sehingga terpaksa bergantung kepada kabel politik Umno dan hidup sebagai kontraktor kroni," tegasnya.

Keadaan itu, tambah ketua menteri, telah menyebabkan banyak projek kerajaan bermasalah sebelum ini.

"Demi mengelakkan projek kerajaan negeri bermasalah kerana terbabit dengan kontraktor kroni Umno, maka arahan telah dikeluarkan kepada semua jabatan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memantau dengan teliti dan rapi sekiranya kontraktor Umno ini membida projek.

"Saya ingin menasihatkan Datuk Mohamed Fadzil supaya janganlah berpura-pura sebagai kontraktor kalau lebih berminat jadi orang politik yang sentiasa serang kerajaan negeri Pulau Pinang," tegasnya.

Menurutnya, adalah lebih baik Mohamed meletak jawatan dalam PKMM dan bertanding dalam pilihanraya kalau mahu menjadi orang politik.

Lim berkata, sekiranya tidak mahu meletak jawatan, maka Mohamed harus mengakui salah dan meminta maaf kepada kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang kerana didakwanya menabur fitnah yang tidak berasas.

"Sebelum ini saya telah menyatakan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang menjadi amalan kerajaan negeri terbukti apabila kira 70 peratus bidaan kontrak di Pulau Pinang berjaya dimenangi oleh kontraktor Melayu," tambahnya.

Pada 29 November lalu, Mohamed dilaporkan oleh Utusan Malaysia, mencabar Lim supaya mendedahkan secara terperinci nilai tender yang dianugerahkan kepada kontraktor bumiputera dan bukan bumiputera bagi membuktikan kepimpinannya benar-benar telus dalam mengagihkan projek kerajaan negeri.

Timbalan presiden PKMM itu dilaporkan berkata, kenyataan Guan Eng bahawa 70 peratus bidaan kontrak kerajaan negeri dimenangi kontraktor bumiputera tidak mencerminkan realiti sebenar pengagihan projek secara adil.

Mohamed dilaporkan berkata, ini kerana sebanyak mana pun kontrak yang diterima kontraktor bumiputera, nilainya mungkin jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan habuan kontrak yang diterima kontraktor bukan bumiputera.

Mengulas mengenainya, Lim berkata akhbar berkenaan dan pemimpin rasis BN sering menggambarkan beliau sebagai anti-Melayu sedangkan kerajaan negeri pimpinannya memartabatkan usahawan bumiputera yang berkebolehan dengan tawaran tender secara terbuka menerusi e-Perolehan.

"Sudah sampai masanya kita jangan lihat dari sudut perkauman tetapi professionalism dan kemampuan yang boleh martabatkan kita semua," tambahnya.

Malaysiakini/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

yessss betulllll..tidak brguna pemimpin melayu kalau brjiwa hitam..

Neutronboy berkata...

Orang Islam pun x fikir dosa pahala ke kalau asyik menabur fitnah ni? Hmm macam ni baru bagus mndedahkan gerak kerja kerajaan. Baru tiada salah faham insya Allah.