20 Disember 2010

Negara Islam: Ahli PAS lega penjelasan Karpal

14 Muharam 1432H
Oleh : Ahmad Danial

MELAKA, 20 Dis: Rata-rata ahli PAS melahirkan kesyukuran dan lega dengan kenyataan Karpal Singh berhubung isu Negara Islam pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2 di Kepala Batas, semalam.

Asri Shaikh, 45, dari Masjid Tanah berkata kenyataan Pengerusi DAP itu jelas menggambarkan bahawa beliau semakin faham akan negara Islam yang sebelum ini beliau seolah-olah menentang tanpa asas yang kukuh.

"Kenyataan Pengerusi DAP itu merupakan perkembangan yang positif dan menunjukkan sikap keterbukaan beliau terhadap Islam.

"Beliau mula faham dengan pendekatan dakwah yang kita bawa," ujar Asri yang juga Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah.

Bagi Imran Abdul Rahman, 44, (kanan) dari Tanjung Bidara, kalau sebelum ini Karpal dilihat begitu keras menentang negara Islam kini beliau kelihatan bersedia untuk berbincang dan mendengar dengan teliti tentang isu tersebut.

"Terbukti usaha PAS selama ini menerangkan tentang negara Islam mula difahami oleh semua orang termasuk DAP, cuma Umno sahaja yang terus membutakan mata dan memekakkan telinga.

"Tidak mustahil suatu hari mereka akan menerima konsep negara Islam yang terbukti adil dan telus kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi," kata Imran yang juga merupakan Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Sementara itu, Kintan Man, 49, (kiri) dari Serkam berkata setelah 20 tahun isu ini menjadi bahan eksploitasi BN terhadap PAS dan DAP, kini ia akan berakhir dengan sikap dinamik dan terbuka pimpinan atasan PR.

"Kejayaan ini merupakan suatu kejayaan yang manis dan membuktikan tahalluf siyasi yang diamalkan oleh PAS mula menampakkan kejayaan yang sukar untuk dipercayai sebelum ini.

"Kenyataan Karpal sebelum ini yang dilihat menentang keras negara Islam mungkin disebabkan dari pengamatan beliau selama ini yang melihat Islam ala Umno yang jelas mendisriminasikan rakyat, menzalimi rakyat serta penuh dengan amalan rasuah dan penyelewengan," ujar Kintan yang Setiausaha Dewan Muslimat PAS negeri.

Karpal berkata DAP boleh membincangkan isu tersebut dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, isu negara Islam perlu segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menegaskan bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan mempertahankan perlembagaan dan segala peruntukan yang terkandung dalamnya.

“Isunya ialah negara Islam dan ia harus diselesaikan secepat mungkin. DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Soal bersabit negara Islam adalah sesuatu yang kami boleh berunding dan saya yakin kita boleh mencapai konsensus,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada konvensyen tersebut.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: