06 Disember 2010

Terkini - Khir Toyo minta dibicarakan !

SHAH ALAM, 6 Dis - Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen berhubung kesalahan membeli dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini - yang berkaitan dengan isu 'istana gaya Bali' - untuk kepentingan diri dengan menggunakan kedudukan sebagai ketua kerajaan negeri tiga tahun lalu.

Dr Khir, 45, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Beliau merupakan pemimpin tertinggi kedua daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dihadapkan di mahkamah sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Bekas presiden MCA dan bekas menteri pengangkuatan Tun Dr Ling Liong Sik dibawa ke mahkamah berhubung isu projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebelum ini. Dr Khir dihadapkan ke mahkamah sehari selepas BN mengadakan konvensyennya.

Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Samsuddin Hayroni diiringi anggota SPRM hadir di Mahkamah Sesyen berhubung kes pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam. Dr Mohamad Khir Toyo juga dihadapkan di Mahkamah Sesyen berhubung kes tersebut. — Foto Bernama
Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Khir diwakili peguam M.Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.

Beliau merupakan Menteri Besar Selangor ke-13, dan memegang jawatan itu dari Ogos 2000 hingga Februari 2008.

Tuduhan dikenakan sekitar 11.30 pagi selepas bekas menteri besar itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di pejabatnya di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Dr Khir dituduh di bawah Sekyen 165 Kanun Keseksaan atas kesalahan rasuah.

Di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, seseorang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Difahamkan, penahanan Khir Toyo berkaitan dengan dakwaan bahawa beliau menerima rasuah berhubung pembelian tanah untuk 'Istana Khir' atau 'istana gaya Bali' iaitu rumahnya yang ala Bali di Seksyen 7 di sini.

Dr Khir menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-13 pada Ogos 2000 ketika berumur 35 tahun dan merupakan penjawat jawatan Menteri Besar yang termuda.
Di mahkamah yang sama, Shamsuddin, 52, turut mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohamad Khir melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Shamsuddin, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Gani memohon mahkamah menetapkan jaminan tidak kurang daripada RM1 juta bagi Mohamad Khir dan Shamsuddin.

Athimulan memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM50,000 dengan alasan kes itu adalah kes saman dan jaminan hanya bertujuan untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah.

“Jaminan tidak sepatutnya ditetapkan dalam jumlah yang tidak munasabah dan menghukum anak guam saya kerana beliau masih tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah,” katanya.

Gani berkata pihaknya tidak menafikan bahawa jaminan hanya untuk memastikan kehadiran Dr Khir tetapi kes itu serius dan melibatkan jumlah yang sangat tinggi serta telah menarik perhatian umum.

Beliau berkata Dr Khir adalah wakil rakyat dan menjawat jawatan tertinggi ketika kejadian, sepatutnya beliau lebih mengetahui mengenai undang-undang.

“Kedua-dua mereka telah diberi hak mereka semasa siasatan dan siasatan dijalankan dengan sangat adil,” katanya.

Hakim Azhaniz kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM750,000 dengan seorang penjamin masing-masing bagi Dr Khir dan Shamsuddin.

Beliau turut membenarkan permohonan Gani untuk kes Mohamad Khir dan Shamsuddin dibicarakan bersama dan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Gani memberitahu pemberita bahwa sekurang-kurangnya 16 orang saksi akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kelak.

Ditanya mengapa Dr Khir tidak didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Gani berkata Seksyen 165 Kanun Keseksaan diperuntukkan dalam Akta SPRM.[Malaysian Insider]

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dont wory DS KT...berani mahkamah jatuh hukum kata u bersalah.
Sat jer..lepas election nanti...setel la semua.
Mahkamah nanti kata...pihak pendakwaan lemah la..x da faci prima la..pihak pendakwaan gagal bukti u terlibat dalam rasuah la...ikut pandai tuan hakim la masa tu..

Buat rayuan..u masuk balik UMNO...masa tu..u macam baby baru beranak..suci bersih.