02 Februari 2011

Mesir: Pemimpin dunia perlu ambil iktibar

28 Safar 1432H.
Oleh : Salmah Mat Husain.

KOTA BHARU, Pergolakan yang berlaku di Mesir sekarang sewajarnya memberi pengajaran pada pemimpin di negara lain agar tidak bermegah dengan kemenangan kerana akan berhadapan dengan rusuhan sekiranya menzalimi mereka.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya.

Beliau berkata demikian ketika menghubungi Harakahdaily hari ini bagi mengulas perkembangan rusuhan yang berlaku di Mesir itu.

Katanya, kemenangan yang mencapai 99 peratus merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat.

“Dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding dalam pilihanraya.

“Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini,” ujarnya.

Akibatnya, jelas Tuan Guru lagi rakyat telah memprotes kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi di negara itu walaupun pada zahirnya mendapat undi yang besar.

Sambungnya, rusuhan itu sebenarnya satu mesej yang besar terhadap mereka yang menipu rakyat.

“Mula-mula boleh la menipu, tapi bila dah lama rakyat sudah tidak boleh bertahan lagi,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: