13 Mac 2011

Jumpa Nik Aziz jika tidak puas hati isu loteri

07 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Pemimpin bukan Islam yang tidak berpuas hati berhubung larangan penjualan loteri di Kelantan perlu mengadakan perbincangan dan perundingan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah berkata, pertemuan itu penting sebagai usaha untuk meleraikan segala persoalan dan ketidakpuasan hati.

“Ia perlu kepada perbincangan dan perlu dijelaskan apakah tindakan itu memberi keuntungan kepada rakyat dan biar mereka faham kedudukan sebenar berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abu Bakar bersetuju dengan tindakan Kerajaan Negeri Kelantan itu menjelaskan bahawa zoteri adalah satu bentuk perjudian yang secara jelas diharamkan agama.

Beliau berkata, orang bukan Islam di negeri ini memberi maklum balas yang baik berhubung perkara itu ketika Terengganu diperintah oleh Pas pada 1999 hingga 2004.

“Masa itu kita tidak perbaharui premis judi dan melalui orang bukan Islam, kita mendapat pandangan mereka bahawa mereka juga tidak setuju dengan judi dan ia bukan budaya mereka,,” katanya.


Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas dilaporkan bersedia bertemu Pengerusi DAP, Karpal Singh bagi berbincang dan menjelaskan isu larangan menjual loteri di Kelantan.

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum ini, Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Bunut Payung) dilaporkan berkata, Kerajaan Negeri mengharamkan segala bentuk perjudian, manakala aktiviti penjualan arak dikawal dan lesen untuk premis dan aktiviti perjudian tidak dikeluarkan di negeri itu.- SH

Tiada ulasan: