13 Mac 2011

Lulusan diploma ditawar Sarjan

07 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU 12 Mac - Golongan siswazah yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma berpeluang untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pangkat Sarjan tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, skim ditawarkan tersebut merupakan satu usaha dalam menarik minat golongan itu menyertai PDRM.

Katanya, mereka juga berpeluang menikmati skim kenaikan pangkat dalam tempoh lima tahun berbanding 10 hingga 15 tahun sebelum ini.

"Kita berharap melalui skim baru itu, dapat menarik minat golongan muda menyertai polis," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pemakaian pangkat Pegawai Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa dan Siswi (Kor Suksis) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa dan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.

Pada majlis tersebut lima kakitangan UMT telah menerima pangkat masing-masing iaitu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Yahaya Ibrahim; Pendaftar UMT, Zakarian Ibrahim; Ketua Pusat Sukan UMT, Rafee Jusoh; Ketua Pusat Ko-Kurikulum UMT, Awang Koding Che Tom dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Siti Zainab Mat Zin.

Penubuhan Kor Suksis UMT yang secara rasmi ditubuhkan pada 24 Julai 2006 telah mempunyai keanggotaan 282 pelajar dan daripada jumlah tersebut seramai 70 orang telah ditauliahkan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, skim tersebut yang merupakan salah satu penambahbaikan bidang kepolisan, selaras dengan hasrat PDRM untuk menambah keanggotaan pasukan berkenaan kepada seramai 150,000 orang menjelang 2015.

Katanya, dalam usaha itu, beliau mahu tenaga muda dan berkelayakan untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang siasatan.

Tambah beliau, PDRM turut mengambil kira penambahan bilangan rakyat di negara ini serta cabaran yang semakin tinggi.

"Kita memerlukan para pegawai yang bertenaga serta berpengetahuan tinggi dalam penyiasatan agar kualiti sesuatu kes disiasat, lebih baik," katanya. - sumber Bernama

Tiada ulasan: