09 Mac 2011

Kes Beng Hock : Pegawai SPRM 'Tiada Kuasa'

04 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 9 MAC : Suruhanjaya menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM yang menyoal pembantu politik kepada Exco Selangor itu beberapa jam sebelum ia dijumpai mati, tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Peguam yang mewakili Majlis Peguam, Edmund Bon, yang menyoal penolong penguasa SPRM, Mohd Ashraf Mohd Yunus berkata, ia berdasarkan inkuiri dalaman suruhanjaya itu yang menjalankan siasatan terhadap kelakuan pegawainya yang terbabit.

Dalam laporannya, jawatankuasa berkenaan menyatakan Mohd Ashraf dan rakannya Arman Alias tidak mempunyai kuasa untuk menyoal-siasat Teoh seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 30(8) Akta SPRM.

Maklumat itu didedahkan ketika Suruhajaya Siasatan memulakan sesi paginya hari ini bagi menilai prosedur soal-siasat yang dijalankan oleh SPRM.

Teoh, pembantu politik DAP kepada ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, disoal semalaman sebagai saksi berhubung salah guna dana oleh majikannya.

Beliau dibawa ke pejabat SPRM Selangor pada 15 Julai 2009 di Plaza Masalam, Shah Alam tetapi dijumpai mati keesokan harinya di koridor tingkat lima, bangunan yang sama.

Sebuah inkues kemudian diadakan tetapi selepas 18 bulan memutuskan 'penghakiman terbuka' dan merintis jalan kepada penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh.

Suruhanjaya itu sepatutnya mengemukakan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 25 April.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: