09 Mac 2011

Kerajaan tak tahu beza notis dengan saman

04 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, Kegagalan pihak kerajaan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membezakan di antara notis dan saman dianggap sebagai memalukan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan juga gagal mematuhi tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Akta Undang-undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1) (D).

"Kita agak terkejut bagaimana pihak kerajaan sendiri khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh memahami persoalan pokok yang terdapat dalam Akta Pengangkutan Jalan itu sendiri dan mereka tidak boleh membezakan antara saman dengan notis.

"Kalau kerajaan tidak boleh membezakan antara notis dan saman satu perkara yang sangat memalukan apabila dia menganggap notis itu sebagai saman.

"Kerajaan sendiri tak boleh akur kepada tafsiran yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Akta Undang-undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1) (D)," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuching mentafsirkan Akta Undang-Undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17(1)(D) merupakan perkara yang dianggap perkara belum selesai, merujuk kepada perkara yang belum diselesaikan di peringkat mahkamah.

Mahfuz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) sebelum itu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia mempunyai kaedah tertentu atau mencari jalan penyelesaian secara pantas semasa berurusan di kaunter Pembaharuan Cukai Jalan dan Pembaharuan Lesen Memandu dalam kes-kes saman Polis atau JPJ di mana berlakunya pemalsuan nombor kenderaan tanpa pengetahuan pemilik kenderaan - kesalahan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penasihat Undang- Undang Kase, Zulhilmi Shariff dalam sidang media sama berkata, rakyat perlu faham kuasa menghukum semua pesalah tertakluk pada mahkamah dan bukannya pihak kerajaan.

"Persoalan yang paling besar ditimbulkan dalam isu saman ekor ini, Ketua Trafik Bukit Aman atau Timbalan Menteri menyebut, kita beri peluang untuk rakyat membayar saman sehingga 10 Mac. Persoalannya di sini, siapa yang suruh bayar? Itu yang paling penting," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria.

Tiada ulasan: