06 Mei 2011

Hamas Sedia Jayakan Perdamaian Dengan Fatah

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SEMENANJUNG GAZA 6 MEI : Sehari selepas menandatangani perjanjian memulihkan hubungan dengan kumpulan Fatah, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, berkata mereka sedia menghadapi apa saja untuk memastikan kejayaan perdamaian yang dicapai itu selepas kedua-dua pihak bertelagah selama empat tahun.

"Kami akan mula melaksanakan semua tuntutan perjanjian itu...membentuk kerajaan penyatuan, membebaskan tahanan dan menggerakkan semula Parlimen Palestin," katanya.

Beliau juga menyeru kumpulan bersenjata dalam kalangan rakyat Palestin supaya mematuhi gencatan senjata dengan Israel untuk memberi peluang kepada perjanjian perdamaian itu untuk dilaksanakan.

"Terdapat banyak ancaman kepada perjuangan rakyat Palestin dan semua ancaman ini dapat ditangani menerusi perdamaian," katanya.

Haniyeh yang mengetuai kerajaan pertama Palestin yang dibentuk oleh Hamas pada 2006 selepas memenangi pilihan raya Parlimen, mengesahkan bahawa beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri dalam kerajaan baru Palestin.

Semalam ratusan penyokong Hamas menyertai satu perhimpunan bagi meraikan penyatuan Palestin di bandar Nablus di Tebing Barat.

Ini adalah kali pertama penyokong Hamas berada di Tebing Barat sejak pihak berkuasa Palestin menghalang mereka datang ke situ pada 2007.

Petugas dari stesen televisyen milik pihak berkuasa Palestin dibenarkan untuk pertama kali membuat liputan di Semenanjung Gaza manakala wartawan dari stesen televisyen Hamas Al-Aqsa pula dibenarkan beroperasi dari Tebing Barat.

Penganalisis Palestin, Fahmi Abu Hadeed, bagaimanapun melihat penyatuan antara kedua-dua kumpulan itu akan berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, ini kerana masing-masing mempunyai program tersendiri.

Beliau juga berkata, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah tidak akan mengiktiraf sebuah kerajaan Palestin jika Hamas tidak mengiktiraf Israel. - BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hamas perlu hati2, sebab Fatah sekutu kuat US. Seperti juga PAS, perlu hati2 dgn pelawaan UMNO