29 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
WASHINGTON - Kematian pemimpin kumpulan Al-Qaeda, Osama Laden, yang dibunuh dalam serangan tentera Amerika Syarikat (AS) semalam, selepas hampir 10 tahun negara itu melancarkan misi membalas dendam ke atasnya, bukanlah satu pengakhiran, malah menimbulkan persoalan baru.
Adakah lebih banyak serangan pengganas akan dilancarkan oleh kumpulan itu selepas ini, atau adakah kematian Osama akan menguburkan kumpulan paling digeruni kuasa Barat itu?
Namun, Al-Qaeda sejak sedekad lalu telah dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil yang beroperasi di serata dunia tanpa pengawasan Osama, menandakan kematiannya mungkin tidak memberi kesan mendalam.
Pengumuman Presiden AS, Barack Obama mengenai kematian Osama turut diikuti dengan amaran perjalanan kepada rakyat negara itu.
Selain itu, pihak berkuasa AS turut meningkatkan kawalan keselamatan serta-merta.
Menurut pegawai keselamatan dalam negeri AS, arahan diberikan kepada pasukan khas tentera supaya membunuh Osama dan bukannya menahan pengasas Al-Qaeda itu hidup-hidup.
Pastinya pejuang Al-Qaeda lain akan melancarkan serangan balas kepada AS atas pembunuhan yang dilakukan tanpa mengendahkan hak asasi manusia untuk membela diri dalam perbicaraan adil seperti yang kerap dilaungkan negara itu sebelum ini.
Osama dilaporkan dibunuh dalam serangan yang diketuai pasukan khas tentera AS di bandar Abbotabad, utara Pakistan, awal pagi semalam (waktu Malaysia) selepas bertahun-tahun mengadakan risikan, seperti yang diumumkan Obama.
Ini menunjukkan AS sedia maklum lokasi sebenar Osama yang berada di Pakistan, tetapi negara itu terus rakus mengetuai perang yang membunuh ribuan orang awam di Afghanistan yang jelas dilancarkan tanpa sebab kukuh.
“Keadilan berjaya ditegakkan,” kata Obama dalam ucapan di Rumah Putih bagi mengumumkan kematian Osama yang dituduh menjadi dalang serangan kapal terbang ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001, yang meragut hampir 3,000 nyawa.
Tentunya kematian Osama yang dianggap pencapaian besar itu akan digunakan Obama bagi mendapatkan kelebihan politik kepada beliau menjelang pilihan raya AS, tahun depan.
Sementara itu, ribuan rakyat AS berkumpul di hadapan Rumah Putih dan bersorak kegembiraan sambil mengibarkan bendera negara itu sejurus berita kematian Osama diumumkan.
Osama, 54, sebelum ini menyembunyikan diri di kawasan pergunungan di timur Afghanistan selepas negara itu dijajah AS dan tentera bersekutu yang berikrar membalas dendam terhadap serangan 11 September itu.
Sinar Harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan