03 Mei 2011

DUN Pulau Pinang: Polis tahan 4 individu anjur demonstrasi

29 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN: Polis menahan Pengerusi Persatuan Suara Anak-Anak Malaysia Pulau Pinang, Abdul Ghani Abdul Jiman bersama tiga pengikutnya yang dikatakan menganjurkan demonstrasi di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini petang tadi.

Perhimpunan yang disertai kira-kira 50 orang ketika DUN sedang bersidang itu bertujuan menyerahkan memorandum mengenai ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran kerajaan negeri pimpinan DAP.

Perhimpunan yang bermula pada jam 12.45 tengah hari itu kemudian menjadi kecoh apabila Ghani bertindak memanjat pintu pagar DUN selepas dihalang anggota polis untuk menyerahkan memorandum berkenaan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau bersama tiga lagi lelaki terbabit ditahan selepas enggan mematuhi arahan polis untuk bersurai dan kesemua mereka dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang untuk siasatan lanjut dan dibebaskan dengan jaminan polis beberapa jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata, mereka dibebaskan selepas memberi keterangan polis dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya

Tiada ulasan: