29 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
MARANG - Pas menyifatkan saranan Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak agar parti itu meninggalkan pakatan pembangkang dan menyertai Barisan nasional (BN) sebagai janggal dan aneh.
Malah, Pas sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan UMNO/BN yang didakwa sering dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan musnahkan harta negara.
Beliau berkata, Pas mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama Pakatan Rakyat (PR) adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.
Menurutnya, kerjasama Pas selama ini dengan DAP contohnya, adalah atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip. Ia tidak sama dengan kerjasama wala’ antara UMNO dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam.
“Kerjasama UMNO dengan MCA dan MIC juga hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu-Islam dalam negara kita ini sejak puluhan tahun,” katanya mengulas saranan Perdana Menteri meminta Pas agar keluar daripada PR.
Malah, Presiden Pas itu juga mempersoalkan isu siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90 peratus adalah Melayu-Islam.
Selain itu, Hadi turut mempersoalkan siapa pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan UMNO-putra.
“Siapakan yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini? Jawapannya, kerajaan pimpinan UMNO-BN yang melemahkan orang Melayu itu sendiri,” katanya.
Sinar Harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan