29 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM 3 MEI : Bebanan yang ditanggung oleh rakyat akibat daripada kenaikan harga barangan mungkin dapat dikurangkan dengan pelarasan gaji di semua sektor di negara ini.
Ini kerana, dari barangan import sehinggalah kepada barangan keperluan asas hatta seperti harga minuman meningkat dengan ketara tanpa dapat dibendung lagi.
Tinjauan Tv Selangor mendapati, masyarakat yang sudah lama menahan sabar ekoran kenaikan harga melampau ini, mula bersuara dan mahu beban mereka turut dirasai oleh pihak yang bertanggungjawab.
Seorang pegawai di Majlis Bandaraya Shah Alam, Said Idham Idris yang ditemui Tv Selangor berkata, pendapatan orang ramai kini tidak sepadan dengan kenaikan harga barangan.
Perbelanjaan melebihi gaji sudah menjadi lumrah untuk masyarakat terutama yang tinggal di bandar besar sehingga mendatangkan tekanan yang melampau kepada rakyat.
“Harga barang naik atau turun tak jadi masalah sebenarnya tapi yang penting gaji pendapatan orang kita rakyat. Kalau harga barang atau nilai wang kita
naik tapi gaji dengan takuK lama kita tak dapat menampung kehidupan semasa.
"Kalau kita tengok kalau kakitangan kerajaan dengan gaji 10 tahun lepas dengan sekarang masih di tahap yang sama macam mana kita nak berbelanja. Walaupun ringgit kita tinggi, bila harga barang naik dengan kadar gaji yang terhad, bagaimana kita nak berbelanja?,"soalnya.
Pendapat Said Idham itu dipersetujui oleh Siti Zaharah Abdul Khalid. Menurutnya kenaikan harga barangan kini sudah dianggap keterlaluan dan membebankan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.
“Walaupun matawang Malaysia telah meningkat tetapi harga pasaran dunia sama juga jadi kadar inflasi Malaysia tetap tinggi berbanding negara lain. Tetapi saya rasa tiada perubahan kadar duit Malaysia telah meningkat. Kerana kadar inflasi Malaysia meningkat juga,"katanya.
"Jadi ini menyebabkan kebanyakan rakyat Malasia merasa kenaikan harga barang di pasaran. Bagi mereka yang perpendapatan pertengahan dan ke bawah, mereka yang akan merasa paling teruk sekali dengan kenaikan harga barang sekarang ini, kerana gaji mereka tak naik tetapi harga barangan tetap meningkat,"tambahnya lagi.
Sementara itu menurut seorang pesara, Hashim Sairi, kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk mengawal harga barangan yang meningkat naik demi kelangsungan hidup rakyat.
“Kalau boleh harga barang janganlah naik kerana pendapatan rakyat tak meningkat . Jadi harga barangan tak sepatutnya naik. Kalau pendapatan rakyat ditingkatkan ia wajarlah harga barangan sedikit naik. Ini menambahkan sengsara rakyat, bukan nak menolong rakyat,"tegas beliau.
Sementara itu seorang pekerja swasta Ravindran Sammogam pula berpendapat, beban yang ditanggung ekoran kenaikan harga barang lebih membabitkan pekerja swasta. Ini kerana kakitangan awam mempunyai beberapa elaun lain untuk menampung kehidupan.
“Ya swasta kena naik lagilah, swasta banyak rendah gaji, kalau kerajaan naik gaji, swasta juga perlu naikkan. Tapi kerajaan ada juga dapat elaun-elaun semua, swasta hanya setahun sekali saja dapat,"katanya.
Nyata kenaikan harga barangan yang tidak setimpal dengan pendapatan yang diperolehi merupakan masalah utama yang dihadapi rakyat.
Kenaikan nilai ringgit tanpa mengambil langkah membendung kenaikan harga barangan adalah persoalan dan masalah yang harus ditangani segera oleh kerajaan pusat.
Tv Selangor/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan