22 Mei 2011

Tanah runtuh: Pulau Pinang sumbang RM25,000

19 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 22 Mei: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mencadangkan pemberian sebanyak RM25,000 kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau yang juga Setiausaha DAP turut mengucapkan takziah kepada semua 16 orang mangsa yang terkorban dan 9 orang lain yang cedera dalam mala petaka  tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat.

“Mala petaka ini amat menyayat hati dan telah menyentuh hati semua rakyat Malaysia tanpa kira bangsa dan agama yang penuh simpati dan kesedihan kepada mangsa-mangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

DAP juga, katanya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat dan pihak polis yang bertungkus-lumus menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa-mangsa dengan penuh dedikasi.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bagan menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan tragedi seperti itu dapat dielakkan.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri Pulau Pinang akan mencadangkan pemberian sebanyak RM25,000 kepada semua mangsa dan Rumah Anak Yatim," ujarnya.

Menurutnya, sungguhpun wang tidak seberapa, ia adalah sokongan moral untuk memberikan semangat kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang terselamat meneruskan kehidupan dengan tabah hati.

Tiada ulasan: