22 Mei 2011

Wenger akui Ferguson pengurus terbaik

19 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



LONDON - Arsene Wenger mengakui rakan sejawatnya, Alex Ferguson sememangnya layak dipilih sebagai Pengurus Terbaik Barclays Liga Perdana England musim ini.

Malah, pengurus Arsenal itu turut meramalkan bahawa Manchester United akan memberi kejutan kepada Barcelona, sekali gus menjuarai final Liga Juara-Juara di Wembley pada Ahad depan.

Wenger percaya, United yang tewas kepada Barca di Rom dua tahun lalu, kini jauh lebih hebat dan bertenaga.

Dia turut melihat kejayaan dalam kempen Eropah itu akan menjadi penutup musim yang indah bagi Ferguson.

Wenger berkata: "Manchester United akan bermain di final Liga Juara-Juara dan mereka telah pun menjuarai gelaran liga ini. Jadi, hanya Ferguson yang layak memenangi anugerah tersebut.

"Daripada apa yang saya lihat sejak tiga minggu lepas, tiada lagi saat yang lebih baik untuk menewaskan Barcelona selain di final.

"Mereka (Barca) nampak seperti agak keletihan dan Manchester United pula dilihat lebih bagus dari segi fizikal. Saya rasa Manchester United ada peluang untuk menang.

"Wembley akan memberi kelebihan kepada mereka. Kamu tahu Barca akan menguasai bola selama 70 peratus pada pertemuan itu nanti dan United perlu lebih berkesan dalam 30 peratus yang mereka miliki.

"Naluri saya dapat merasakan bahawa United akan mengubah corak permainan mereka sama sekali.

"Saya rasa mereka akan cuba menguasai posisi tengah dan bermain lebih pantas berbanding ketika di Rom dua tahun lalu."

Wenger juga mengakui bahawa United telah menjuarai gelaran liga kerana prestasi hebat mereka di Old Trafford, sebaliknya di gelanggang lawan, mereka hanya menang lima kali.

Wenger berkata: "Prestasi mereka di gelanggang lawan sangat berbeza, namun di tempat sendiri mereka lebih bagus.

"Penyokong mereka sentiasa teguh di belakang mereka."

Agensi

Tiada ulasan: