23 Jun 2011

Taib nafi ada akaun rahsia di Bank Swiss

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KM sudah maklumkan kepada Presiden Switzerland

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menafikan mempunyai sebarang akaun rahsia di Bank Swiss mahupun aset atau pelaburan dalam apa juga bentuk di Switzerland.

Beliau menjelaskan, perkara berkenaan sudah dibawa kepada pengetahuan Presiden Switzerland, bulan lalu melalui surat yang memaklumkan bahawa dakwaan yang dilemparkan terhadapnya tidak berasas sama sekali.
“Di dalam surat berkenaan, saya minta Presiden Switzerland mengesahkan sama ada terdapat arahan daripada Tabung Bruno Manser (BMF) kepada Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland (FINMA) supaya menyiasat saya dengan pelbagai dakwaan.

“Saya sedia memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Switzerland untuk menegakkan kebenaran. Saya juga minta supaya salinan dakwaan itu diserahkan kepada saya supaya tindakan undang-undang sesuai boleh diambil atas hak saya, bagi membuktikan bahawa semua ini adalah tuduhan palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangun untuk membaca kenyataannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pagi semalam.

Abdul Taib berkata, sebagai seorang ketua kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertanggungjawab terhadap DUN yang mulia itu, beliau memilih untuk mengeluarkan kenyataan di dewan berkenaan.

“Adalah lebih tepat dan lebih baik untuk saya membuat kenyataan mengenai dakwaan tidak berasas terhadap saya ini di dewan yang mulia ini berdasarkan Peraturan Mesyuarat (S.O) 22.
“Dakwaan dibuat BMF jelas palsu dan terbukti hanya untuk menjejaskan kerjaya politik saya berdasarkan rekod BMF yang kerap menyerang Sarawak sejak dulu lagi," katanya.

Beliau dalam kenyataannya kelmarin, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat kesilapan apabila melakukan siasatan ke atasnya.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan berasingan semalam menjelaskan, kenyataan perenggan pertama suruhanjaya itu kelmarin iaitu “Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, tindakan SPRM menyiasat dirinya adalah satu kesilapan” membawa maksud sangat mengelirukan.

Katanya, kenyataan Ketua Menteri itu merujuk kepada SPRM seolah-olah `menyalak pada pokok yang salah’ (barking at wrong tree), mungkin silap dan kenyataan media lain pula merujuk perkara itu kepada pihak pembangkang.

“Ini menunjukkan seolah-olah SPRM yang membuat kesilapan, walhal kenyataan ini merujuk kepada pihak pembangkang seperti yang dilaporkan oleh media lain,” tambah SPRM.

beritaharian/-

Tiada ulasan: