23 Jun 2011

Waris P Ramlee cadang tuntut royalti

21 Rejab 1432H. [MOD] -

MOHD YUSOFF menujukkan kad pengenalan P Ramlee kepada warisnya Najua Nasir, 25 (kanan), Gurnarisasca, 34 (dua dari kanan) dan Gurlina, 40 (tiga dari kanan), pada majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Georgetown, semalam.
Hasil bayaran tayangan filem seniman di stesen televisyen didakwa cecah RM200 juta

GEORGETOWN: Waris Tan Sri P Ramlee bercadang menuntut royalti daripada bekas majikan seniman agung itu hasil bayaran tayangan filem lakonan Allahyarham di stesen televisyen, termasuk televisyen berbayar yang dikatakan mencecah RM200 juta.

Setakat ini, waris P Ramlee hanya menerima royalti daripada lagu Allahyarham, termasuk RM200,000 yang dibayar syarikat rakaman dan Persatuan Perlindungan Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP), pada tahun lalu.
Bagi tujuan itu, waris Allahyarham melantik peguam, Datuk Hamzah Mohd Kassim bagi mengendalikan urusan berkaitan usaha mendapatkan imbuhan daripada bekas majikan P Ramlee itu.

Hamzah semalam mengakui tiada undang-undang jelas berkaitan royalti antara P Ramlee dengan Shaw Brothers, ketika Allahyarham menjadi pelakon di syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, Shaw Brothers mempunyai tanggungjawab sosial untuk memberikan bayaran kepada waris P Ramlee.

“Saya sudah mendapatkan pandangan pakar perundangan dan kami mempunyai ruang mendapatkan sejumlah royalti,” katanya selepas majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Rumah Kelahiran P Ramlee, di sini semalam.

Pelancaran disempurnakan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff.
Hamzah berkata, pihaknya sudah membuat kajian mengenai perkara itu dan berjumpa beberapa rakan Allahyarham serta mendapatkan pandangan pakar undang-undang.

Namun, beliau tidak dapat menyatakan jumlah tepat pendapatan diperoleh Shaw Brothers hasil tayangan filem lakonan P Ramlee melalui televisyen, tetapi menjangkakan mencecah RM200 juta.

“Saya difahamkan, dalam tempoh tiga tahun lalu saja syarikat itu dibayar RM20 juta oleh ASTRO,” katanya yang menyasarkan royalti sebanyak 20 peratus diberikan kepada waris Allahyarham.

Mengenai maklum balas Shaw Brothers, Hamzah berkata, pihaknya akan berunding dengan syarikat itu selepas mendapat semua maklumat berkaitan.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, PEMENANG menyokong usaha memastikan waris P Ramlee mendapat hak mereka dan berharap persatuan dalam industri perfileman turut membantu bagi memastikan keluarga Allahyarham mendapat pembelaan sewajarnya.

beritaharian/-

2 ulasan:

Qaseh Bonda berkata...

Bakti P. Ramlee ikhlas. Kalau pun ada royalti tak payahlah nak susah2 rebutkan harta anugerah Ilahi. Bagi je kat Baitul Mal lebih mulia. Dapat juga menebus dosa2nya yang ada.

Bab berebut harta ni sampai kiamat takkan selesai. Peguam yang susah2 nak agihkan, berapa pulak yang dia nak claim. Ada ke orang buat sesuatu tu dengan niat kerana Allah.

Malulah sama...tak malu kat P. Ramlee pun kena malu pada Allah.

Duit memang boleh beli segala2nya tapi segala2nya tak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Waris ke uols!!

Tanpa Nama berkata...

kt mesti amik hak kt...dalm muka bumi ni tak ada yg percuma...mati pon perlukan duit...