23 Syaaban 1432H. [MOD] -
TEMERLOH, 25 Julai: Seorang bekas pekerja kilang papan kesal dengan menteri, agensi kerajaan dan wakil rakyat yang gagal menyelesaikan masalah wang pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang tertangguh sejak 15 tahun lalu meskipun semua dokumen sudah lengkap.
Warga emas Mohan Mariappan, 59, yang mengalami kemalangan di tempat kerja di kilang T. S. Gan Timber Trading dekat sini pada tahun 1995 lalu sehingga tidak boleh bekerja lagi dan disahkan pegawai perubatan layak menerima pencen ilat dan bantuan ilat.
Malangnya setelah enam tahun barulah beliau mendapat wang sebanyak RM315.55 iaitu pada Ogos 2002, tetapi bantuan bulanan langsung tidak ada dalam tempoh selama itu dan mendakwa wang pampasan terkumpul miliknya sudah lebih RM40,000.
“Saya bekerja di kilang papan berkenaan dengan gaji sebanyak RM1,500 sebulan sehinggalah pada 13 Mei 1995 mengalami kemalangan dengan tangan sebelah kanan saya termasuk dalam mesin gergaji sehingga mengakibatkan tidak boleh bekerja berat lagi untuk selamanya.
“Doktor yang merawat kemudian mengesahkan saya hilang upaya kekal dan layak mendapat 35% daripada gaji iaitu RM520. Semua dokumen telah dihantar kepada Perkeso Temerloh, tetapi hanya enam tahun kemudian saya baru menerima RM315.55. Itupun setelah tersiar cerita dalam akhbar Tamil.
“Pegawai Perkeso ada berjanji dengan saya wang selebihnya akan dibayar pada setiap bulan. Namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang bayaran yang dimaksudkan,” katanya ketika menemui Harakahdaily di sini.
Sejak itu Mohan telah beberapa kali menemui pengarah Perkeso, menteri, pemimpin tertinggi MIC, wakil rakyat Umno dan Menteri Besar Pahang namun semuanya hanya janji tinggal janji.
“Kalau tidak silap, sudah enam kali saya bertemu Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam untuk mengadu hal dan minta selesai masalah, kali akhir tahun lalu. Begitu juga dengan Senator T. Murugiah dan semua pemimpin MIC, tapi tetap tiada penyelesaian.
“Jumpa dengan Ketua Umno Bahagian Temerloh yang juga Exco Kerajan Negeri Pahang janji nak selesai terus senyap. Juga jumpa MIC Mentakab, pun hanya tinggal janji.
“Setelah mengetengahkan kes ini kepada media, barulah pada bulan Januari 2009 saya dibayar RM70 sebulan, mula bulan September tahun itu dibayar RM140. Sehinggalah bulan September tahun lalu saya dibayar RM250. Tetapi masih jauh daripada jumlah sebenar (RM520),” katanya dengan nada sayu.
Soal Mohan, jika sudah 15 tahun seorang menteri tidak boleh selesaikan satu kes seperti beliau, macam mana menteri mahu selesaikan rakyat dan orang ramai? Beliau hairan bagaimana kesnya menjadi rumit sangat hingga tertangguh lama sedangkan semua dokumen ada dan mereka akui.
Mohan yang juga menghadapi masalah jantung dan akan membuat pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) berpendapat, masalahnya kesnya ini tidak diambil berat kerana beliau ‘orang kecil’.
“Sepatutnya menteri atau wakil rakyat tahu bahawa RM250 sekarang ini tidak cukup untuk menampung kos hidup yang tinggi sekarang. Saya masih ada isteri dan seorang anak yang sedang bersekolah dalam tanggungan. Saya juga masih perlukan duit untuk rawatan dan ubat-ubatan,” rayunya.
Justeru beliau yang tinggal di Taman Bukit Bendera, Mentakab merayu pihak berkuasa segera menyelesaikan kesnya sementara usianya masih ada.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan