25 Julai 2011

Hiburan: Ali Rustam membisu bantahan rakyat

23 Syaaban 1432H. [MOD] -

AYER KEROH, 25 Julai: Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Melaka, Yusof Wahab melahirkan kekesalan di atas sikap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang membisu dengan bantahan rakyat terhadap keputusan kerajaan negeri yang memberikan kelulusan untuk pusat hiburan melanjutkan masa operasi sehingga jam 3.00 pagi.

Yusof berkata, Mohd Ali sepatutnya tampil memberikan maklum balas kepada rakyat Melaka sama ada bersedia untuk menghadkan masa operasi pusat hiburan atau meneruskan keputusan kerajaan negeri baru-baru ini.

"Kita kesal kerana di saat umat Islam akan menyambut Ramadhan, kita dikejutkan dengan tindakan kerajaan negeri Melaka meluluskan perlanjutan operasi pusat hiburan sehingga pukul 3.00 pagi, baru-baru ini.

"Kita hairan bagaimana pemimpin yang mengaku Islam tetapi tidak tahu halal haram dan tidak menghormati bulan Ramadhan yang mulia," tegas Yusof yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Bukit Katil.

Beliau berkata sepatutnya kerajaan negeri Melaka kalaupun tidak mampu untuk menutup pusat hiburan itu sekurang-kurangnya mereka menghadkan masa operasinya dan juga menetapkan supaya orang-orang Islam diharamkan dari memasukinya seperti yang dijalankan di Kedah.

"Jangan hendak hadkan masa operasi dan hadkan orang Islam jangan masuk sebaliknya kerajaan negeri Melaka dengan biadap melanjutkan lagi operasi pusat hiburan ini seolah-olah mencabar Allah yang menyuruh kita memperbanyakkan ibadat di bulan Ramadhan.

"Tidakkah kerajaan negeri rasa bertanggungjawab kepada rakyat dengan menggalakkan mereka beribadat bukannya memberikan ruang yang luas untuk berhibur di pusat-pusat maksiat ini?" soalnya.

Yusof sekali lagi menggesa kerajaan negeri menarik balik keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri baru-baru di samping membuat keputusan supaya orang Islam di larang memasuki pusat-pusat maksiat tersebut.

Minggu lalu, kira-kira 200 orang umat Islam dan ahli PAS Melaka mengadakan himpunan aman membantah perkara tersebut di hadapan Masjid Bukit Katil.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: