25 Julai 2011

Kematian Teoh: SPRM tidak serius, kata Lim

23 Syaaban 1432H. [MOD] -

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahukan tindakan setimpal dikenakan ke atas semua pegawai yang terlibat dalam soal siasat ke atas mendiang Teoh Beng Hock.

Menurut Lim, tindakan melucutkan tiga pegawai terbabit daripada operasi siasatan sahaja tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh mereka.

Lim berkata laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jelas menamakan lebih daripada tiga pegawai yang menyoal siasat Teoh di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Plaza Massalam, dua tahun lalu.

SPRM semalam mengumumkan bahawa Pengarah SPRM Negeri Sembilan Hishamuddin Hashim bersama dua pegawainya Mohd Ashraf Mohd Yunus dan Mohd Anuar Ismail dilucutkan daripada tugas menyoal-siasat.

" Sebenarnya kalau kita baca laporan RCI, mereka dinamakan sebagai '"cakap bohong". Laporan Suruhanjaya juga menyebut (nama-nama lain), bukan tiga orang ini sahaja.

"Jadi kenapa bukan semua digantung? Bukan sahaja daripada tugas penyiasatan, tetapi daripada jawatan dan mengapa mereka tidak didakwa dalam mahkamah oleh kerana kesalahan-kesalahan yang bukan ringan tetapi sangat serius sehingga menyebabkan kematian,"kata Lim.

Keputusan Suruhanjaya Diraja yang diumumkan pada Khamis lalu merumuskan Teoh membunuh diri kerana menghadapi sesi soal siasat agresif dan berlarutan oleh pegawai SPRM pada Julai 2009.

Walaupun beliau hanya saksi dalam sebuah kes yang hanya membabitkan cuma RM2,400, pegawai SPRM cuba mendapatkan pengakuan daripada beliau sepanjang malam dengan membuat pelbagai ugutan dan memberikannya maklumat palsu.

Lim berkata, tindakan tegas harus dikenakan ke atas pegawai yang terlibat sehingga menyebabkan kematian kepada seseorang apatah lagi kerana tidak memberikan fakta sebenar sebelum ini.

"Sangat tidak mencukupi (lucut tugas operasi siasatan). Kalau SPRM menerima keputusan Suruhanjaya Diraja, sangat jelas bahawa tiga individu yang dinamakan ini melakukan pelbagai perbuatan jenayah dan juga menyebabkan kematian Teoh Beng Hock.

"Ini adalah satu kesalahan yang serius kerana memberikan keterangan yang palsu yang mengikut penal code boleh dikenakan penjara tujuh tahun," katanya.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: