25 Julai 2011

Padi patut jadi pelancongan 'iconic'

23 Syaaban 1432H. [MOD] -

Negeri-negeri yang terlibat dengan penanaman padi patut memberi perhatian kepada pelancongan padi dalam menjadikan proses penanaman padi sebagai satu produk pelancongan yang iconic bagi menarik kehadiran pelancong terutama pelancong asing.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit berkata pakej pelancongan yang boleh diwujudkan menerusi pelancongan padi hendaklah melibatkan proses "menanam padi, menghasilkan beras dan makan nasi".

Katanya produk yang dihasilkan itu perlu bermula daripada proses penyediaan tanah dan menabur biji-biji padi sehingga kepada proses menuai.

"Bagaimanapun, tidak semua pelancong datang pada masa penanaman padi. Jadi pentingnya ada muzium padi. Di situ pelancong boleh datang dan lihat proses daripada permulaan sampai masak nasi.

"Ini satu tarikan yang ada pada negara kita terutama Kedah...negeri Jelapang Padi. Tidak ada orang lain yang boleh membuat penjelasan selain orang tempatan...ini jadi pelancongan berasaskan komuniti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Padi Langkawi 2011 di Laman Padi Langkawi di Langkawi semalam.

Program itu adalah anjuran bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan dan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Beliau berkata pelancongan padi itu juga boleh melibatkan padi bukit yang ditanam di Sabah dan Sarawak kerana penghasilannya berbeza dengan padi sawah yang ditanam di Semenanjung.

" Proses penanaman padi bukit berlainan. Setahun sekali kena tebang hutan. Proses tuaian padinya sama. Kita ingin membuat produk ini sebagai produk iconic," katanya.

Dawos berkata produk itu juga boleh diperkenalkan menerusi inap desa dan hotel.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berharap program berinovasi seperti "Festival Padi" ini dapat diteruskan dalam usaha mengekalkan budaya dan tradisi turun temurun di negara ini bagi diperkenalkan kepada pelancong asing.

" Jika kita dapat melibatkan mereka dalam aktiviti seperti ini, ia akan menjadi pengalaman baru kepada pelancong asing dan keunikan inilah yang menjadikan Malaysia salah satu destinasi pelancongan yang menarik," katanya.

Bernama

Tiada ulasan: