15 Julai 2011

Menteri Thai minta pesawat Putera Mahkota tak disita

13 Syaaban 1432H. [MOD] -

PESAWAT Boeing 737 milik Putera Maha Vajiralongkorn disita di sebuah lapangan terbang di Munich, Jerman kelmarin.

BANGKOK - Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya semalam menyatakan beliau akan berlepas ke Jerman untuk cuba meyakinkan pihak berkuasa negara itu supaya membatalkan perintah mahkamah yang menyita sebuah pesawat Boeing 737 milik Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn.

Pesawat itu disita di sebuah lapangan terbang di Munich, Jerman.

Kasit berkata, beliau akan mengetuai satu delegasi yang terdiri daripada barisan diplomat dan peguam untuk memperbetulkan 'kesilapan besar' yang dibuat agensi kecairan Jerman kerana menyita pesawat tersebut.

Menurut menteri berkenaan, beliau akan berlepas ke ibu kota Jerman, Berlin hari ini.

Pesawat tersebut disita Perkhidmatan Kecairan Jerman kerana kerajaan Thailand didakwa gagal membayar hutang tertunggak berjumlah AS$43 juta (RM129 juta) milik sebuah firma pembinaan Jerman, Dywidag.

"Kami ingin menjelaskan bahawa kes ini tiada sebarang kaitan dengan Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn. Ia adalah satu kesilapan besar yang berpunca daripada maklumat palsu yang diberikan kepada sistem perundangan Jerman oleh plaintif," kata Kasit dalam satu sidang media di sini.

Dywidag yang membantu membina sebuah lebuh raya bertol sepanjang 26 kilometer menghubungkan bandar ini dan Lapangan Terbang Don Muang, bergabung dengan Walter Bau Ag pada 2001 sebelum firma itu diisytiharkan muflis. - Reuters

1 ulasan:

raja sehari berkata...

hidup dengan duit rakyat!! bersenang lenang dgn keringat, airmata dan darah rakyat!! terbang kesana sini atas titik peluh rakyat!! ermm.. semua sama.