15 Julai 2011

Rumah penuh beg jenama tiruan

13 Syaaban 1432H. [MOD] -

RAMPAS...Othman (kanan) menunjukkan beg jenama Nike tiruan yang dirampas.

GOMBAK: Tiga anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor terkejut apabila mendapati rumah kedai dua tingkat yang diintip sebenarnya bukan stor penyimpanan video cakera padat (VCD) cetak rompak sebaliknya barang tiruan berupa pelbagai jenis beg.

Serbuan dijalankan di Jalan 12/10, Taman Koperasi Polis Fasa 1 di sini, kira-kira jam 6.15 petang kelmarin menemui kira-kira 30,000 beg tiruan pelbagai jenama terkenal membabitkan nilai mencecah RM500,000.

Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, ketika serbuan itu, pihaknya menahan lima suspek termasuk pemilik premis iaitu seorang lelaki berusia 50-an dan empat pekerja berusia antara 18 dan 23 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal lebih menjurus kepada tempat penyimpanan VCD cetak rompak berdasarkan kawalan rapi yang dibuat di premis itu termasuk pintu depan yang tidak pernah dibuka secara terang-terangan.

“Ketika pegawai kami sedang membuat pemantauan, sebuah lori yang berisi muatan tiba bersama pemilik premis yang turut berada di tempat kejadian dipercayai untuk mengira stok baru menjelang musim perayaan.

“Siasatan awal mendapati mereka memperoleh stok barangan itu daripada seorang pembekal di Pulau Pinang yang dipercayai menyeludup bekalan itu dari China,” katanya.

Serbuan dilakukan tiga pegawai KPDNKK Selangor cawangan Shah Alam dengan dibantu pegawai KPDNKK cawangan Gombak merampas jenama beg terkenal seperti Adidas, Nike, Elvy dan Coach Othman berkata, barangan itu dijual secara langsung kepada peniaga pasar malam dan peruncit kedai beg di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

“Siasatan mendapati mereka sudah beroperasi lebih tiga tahun lalu selain menjual di tapak pasar malam di depan premis ini yang dibuka setiap Sabtu.

“Bagi memastikan operasi mereka tidak dikesan penguat kuasa, semua kerja pemindahan barang di tingkat satu ke bawah melalui lubang ditebuk dalam sebuah bilik menggunakan takal,” katanya.

Katanya, tingkat atas premis itu dijadikan tempat penyimpanan stok yang baru dibawa masuk manakala tingkat bawah digunakan untuk kerja pembungkusan semula sebelum diedarkan.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 membawa hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu manakala bagi syarikat, denda RM250,000 jika sabit kesalahan.

kosmo/-

Tiada ulasan: