13 Syaaban 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 15 Julai — Meskipun sudah terlewat, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bersatu suara menggesa Putrajaya mengkaji semula rang undang-undang berkaitan gaji minimum yang baru diluluskan oleh Parlimen.
Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 — yang akan membuka laluan kepada pelaksanaan gaji minimum dan Putrajaya memberi jaminan akan dilaksanakan akhir tahun ini, telah diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada sesi Parlimen yang baru shaja berakhir.
Perkembangan ini dilihat kemungkinan akan melewatkan pelaksanaan gaji minimum, malah ada suara ia kemungkinan tidak akan menjadi kenyataan.
MTUC melahirkan rasa tidak puas hati ekoran tiga perkara manakala MEF pula menggariskan dua aspek penting.
“Ini kali pertama nampaknya MTUC dan MEF melahirkan pendirian yang sama mengenai pelaksanaan gaji minimum,” kata Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan kepada The Malaysian Insider.
Sementara kedua-dua badan itu berpandangan Menteri Sumber Manusia mempunyai kuasa yang luas dalam melaksanakan undang-undang ini, MEF berkata pihaknya tidak berpuas hati kerana menteri boleh meminda atau membatalkan mana-mana perintah mengenai gaji minimum dengan arahan kerajaan bila-bila masa.
MTUC dan MEF juga tidak bersetuju dengan jumlah keanggotaan dalam Majlis Perundingan Gaji Negara yang menampakkan seolah-olah wakil pekerja dan majikan adalah “golongan minoriti” dalam membuat keputusan sedangkan ia berkaitan dengan majikan-pekerja.
Daripada 29 anggota majlis wakil pekerja dan majikan masing-masing mempunyai lima orang, malah mereka tidak semestinya mewakili MTUC dan MEF.
Sebaliknya mereka boleh dilantik daripada kalangan mana-mana kumpulan pekerja dan majikan, bukannya suara entiti seperti MEF, kata Shamsuddin.
MTUC pula berkata pihaknya dimaklumkan bahawa kongres itu hanya boleh mengesyorkan dua nama wakil mereka sedangkan ada lima wakil pekerja dalam majlis tersebut.
Seorang wakil datang dari Kesatuan Pekerja-pekerja Perladangan Kebangsaan manakala wakil pekerja Sabah dan Sarawak akan diputuskan oleh kerajaan, bukannya MTUC, kata Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor.
Selain itu, MTUC juga tidak bersetuju dengan tarikh pelaksanaan gaji minimum yang akan dilaksanakan berdasarkan budi bicara kerajaan mengikut sektor, wilayah dan pekerjaan.
Sedangkan MTUC mahu dasar gaji minimum kebangsaan yang akan dilaksanakan serentak di seluruh negara.
Ketikan mengulas lanjut Shamusuddin berkata, “kami mahu kerajaan mengkaji balik atau meminda rang undang-undang yang sudah pun diluluskan.”
“Rang undang-undang ini baru diluluskan dan belum diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk diwartakan... jadi, kami rasa masih ada masa bagi kerajaan memperbetulkan peruntukan-peruntukan yang tidak adil ini,” kata Shamsuddin lagi.
Ketika ditanya sama ada MEF menolak rang undang-undang itu, Shamsuddin memberitahu: “Kami tiada kuasa untuk menolak.”
“Tetapi kami mahu kerajaan mengkaji balik, meminda akta ini,” katanya lagi sambil menegaskan, MEF dan MTUC tidak diajak berbincang secara formal apabila rang undang-undang ini digubal.
Katanya, MEF pernah menyertai sesi perbincangan makmal dan bengkel mengenai gaji minimum tetapi tidak selepas itu.
“Sepatutnya apa-apa undang-undang berkaitan dengan pekerja dan menyentuh kepentingan majikan perlu dibincangkan dalam mesyuarat tiga pihak iaitu di NLAC (Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan), tetapi ini tidak dilakukan,” katanya.
Perkara itu turut diakui oleh Halim sambil berkata, NLAC tidak bersidang sejak Mei 2010.
NLAC merupakan badan tiga pihak membincangkan isu-isu perburuhan.
“Kami mengambil keputusan tidak bersetuju dengan sebahagian besar peruntukan... peruntukan-peruntukan yang memberi kuasa yang terlalu besar kepada menteri dan mengecilkan peranan MTUC dalam soal perundingan,” kata Halim kepada The Malaysian Insider.
Kepimpinan MTUC terkejut apabila rang undang-undang itu dibaca kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat.
MEF pula menyedari keseluruhan kandungan rang undang-undang itu selepas ia dibaca kali pertama di Dewan Rakyat.
Dalam nada yang kecewa, Halim berkata, “kami sebagai badan kesatuan sekerja, mewakili pekerja telah diketepikan.”
“Kami merasakan kerajaan telah mengetepikan peranan MTUC,” kata beliau.
MTUC mengambil pendirian itu pada mesyuarat khas majlis amnya Rabu lalu, kira-kira seminggu selepas Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu yang sudah lama dinantikan.
The Malaysian Insider difahamkan rata-rata kebanyakan pemimpin MTUC terkejut dengan keputusan pentadbiran Najib membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat.
“Mengikut rekod yang ada pada MTUC, kami tidak pernah dipanggil berbincang mengenai rang undang-undang ini... itu yang kami rasa terkilan, seolah-olah kami dibelakangkan,” kata Halim lagi.
Ketika ditanya sama ada MTUC menolak, Halim memberitahu: “Kami tidak mengatakan kami menolak, tapi kami tidak puas hati dengan rang undang-undang ini.”
Sejurus selepas Dewan Rakyat membahas dan meluluskan rang undang-undang itu, kata beliau, MTUC dan MEF telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar meminda rang undang-undang itu.
Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 membolehkan sebuah badan bebas Majlis Perundingan Gaji Negara ditubuhkan.
Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata, majlis itu berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan.
“Majlis ini akan dibantu oleh kumpulan profesional dalam Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada pakar ekonomi, statistik dan sosial,” katanya.
Beliau berkata, menurut rang undang-undang itu, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.
malaysianinsider/-
1 ulasan:
Saya Diatara salah seorang pekerja hotel di kuala lumpur juga tidak berpuas hati dalam CARA PENYELARASAN Gaji yang dilakukan oleh majikan.. mereka menolak service caj yang diberi oleh pelangan dan di masukkan kedalam gaji pokok sedang kan majikan tiada hak untuk berbuat demikian... 10% service charge itu di beri oleh pelangan bukanya majikan.. dan saya dapati kebanyak kan hotel-hotel di kuala lumpur mengunakan system yang berbeza2... mengapa tiada penyelarasan yang systematik atau system yang sama kepada semua hotel-hotel di malaysia..????
Catat Ulasan