10 Ogos 2011

SPR, JPN mesti bebas dari cengkaman politik

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

MIRI, 10 Ogos: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) bebas dari cengkaman pengaruh mana-mana parti politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, apa yang penting adalah SPR dan JPN menjalankan tugas dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab.

“Kita juga minta agar pihak JPN pastikan nama dalam data mereka juga bersih dari unsur-unsur yang meragukan,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Miri dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Ini, katanya untuk mempastikan tiada nama pendatang asing mendapat taraf warga negara secara haram jadi pengundi.

Beliau juga berharap nama pengundi dalam senarai SPR mesti selari dengan data nama dalam JPN.

Ini, ujar beliau sekurang-kurangnya dapat membersihkan nama-nama yang tidak wujud dalam data JPN seperti yang ditemui sekarang.

“Sekiranya pihak SPR dapat laksanakan tuntutan ini sekurang-kurangnya SPR sudah memenuhi sebahagian kecil dari tuntutan rakyat melalui Bersih,” ujarnya.

Katanya, kerjasama dan tindakan segera daripada pihak SPR sangat dihargai demi keselamatan dan masa depan rakyat negara ini.

Beliau menambah, kalau dibiarkan pendatang asing mendaftar sebagai pengundi sangat merbahaya kepada penduduk Malaysia.

“Sekiranya perkara ini berlaku kemungkinan besar suatu hari nanti apabila rakyat asing yang sudah mendapat taraf warga negara secara haram itu akan menuntut hak dan akan menguasai negara ini dengan sewenang-wenangnya dan rakyat Malaysia akan jadi menumpang di negara sendiri,” ujarnya lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: