08 September 2011

Memorendum bantah ceramah politik dan fitnah di Mesjid KISDAR

11 Syawal 1432H. [MOD] -

Pas Kawasan Kuala Kangsar hari ini telah menghantar satu Memorendum bantahan kepada Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan
( KISDAR) membantah satu ceramah yang berunsur politik kepartian dan fitnah yang diadakan di Mesjid kolej tersebut.

Berikut ini adalah kandungan penuh memorendum tersebut.

Kepada :

Y.Bhg. Prof Madya Dr. Jamil Bin Hashim
Rektor
Kolej Islam Darul Ridzuan
Bukit Chandan
33000 Kuala Kangsar
Perak Darul Ridzuan

Ramadhan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Allah swt memberi ganjaran yang berlipat kali ganda kepada umat Islam yang mengerjakan amal ibadah di dalam bulan yang mulia ini. Masjid dan surau di seluruh negara berlumba-lumba menyediakan pelbagai program imarah masjid/surau bagi memberi ruang dan peluang kepada umat Islam mengerja dan memperbanyakkan amal ibadah.

Walaubagaimanapun PAS Kuala Kangsar merasa amat kesal dan dukacita kerana Pusat Islam Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) telah menyalahgunakan program imarah masjid dengan mengadakan ceramah berunsur politik kepartian, fitnah dan fakta mengelirukan. PAS Kuala Kangsar telah menerima aduan dan maklumat dari penduduk tempatan yang mengerjakan solat di masjid KISDAR bahawa program penghayatan ramadhan yang dianjurkan oleh Pusat Islam KISDAR pada hari Khamis 18 Ogos 2011 jam 5.00 petang telah dicemari dengan 2 slot ceramah politik kepartian, fitnah dan fakta mengelirukan. Ceramah pertama bertajuk Ramadhan dan Kemerdekaan disampaikan oleh Ustaz Ismail Bin Anang, mantan Penyelaras Masjid Daerah Parit Buntar. Ceramah kedua bertajuk Ramadhan dan Perpaduan disampaikan oleh Ustaz Abd Halim Tuah Bin Rahmat, Pegawai Khas YB Dato’ Ahmad Bin Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


PAS Kuala Kangsar merasa amat kesal dan dukacita kerana ceramah yang bertajuk ramadhan dan kemerdekaan telah menjadi ceramah politik kepartian, menghentam dan memfitnah PAS dan PKR. Tindakan penceramah tersebut amat bercanggah dan membelakangi kehendak Tuanku Raja Muda Perak, Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah yang mahukan masjid bebas dari unsur-unsur politik kepartian. Ceramah yang dilengkapi dengan slide show selama satu setengah jam telah menjadi medan untuk menyerang PAS dan menuduh PAS menyemarakkan lagi perpecahan orang melayu. Penceramah berkenaan juga menuduh kerajaan Pakatan Rakyat sewaktu memerintah Perak selama 11 bulan telah menggunakan duit Kerajaan Negeri untuk disalurkan kepada kuil, tokong dan gereja. Beliau tanpa rasa bersalah terus menyindir kerjasama PAS dan DAP. Tidakkah penceramah itu sedar bahawa beliau sedang berceramah di dalam masjid dan bukan di atas pentas politik. Kesucian masjid sebagai tempat ibadah dan kemuliaan ramadhan telah dicemari dengan ceramah yang berunsur politik kepartian yang melampau.

Penceramah berkenaan juga mengeluar satu fakta yang amat mengelirukan dan merupakan satu fitnah dan pembohongan yang jelas bilamana beliau mengatakan Hizbul Muslimin ada kaitan dengan komunis. Tidak dapat dipastikan apakah motif sebenar penceramah tersebut mengeluarkan kenyataan tersebut, tetapi yang nyata fakta itu merupakan tuduhan dan pembohongan yang jelas. PAS Kuala Kangsar merasa amat kesal dan dukacita kerana sekali lagi kesucian masjid dan kemuliaan ramadhan dicemari dengan pembohongan tersebut. PAS Kuala Kangsar sama sekali tidak boleh menerima pembohongan fakta tersebut. Ia merupakan satu pembohongan sejarah yang nyata.

Penceramah kedua dengan tajuk ramadhan dan perpaduan dilihat cuba mengaitkan PAS dengan kumpulan Khawarij. Ceramah beliau memberi fokus kepada sejarah lahirnya kumpulan Khawarij dan bahaya kumpulan Khawarij terhadap perpaduan ummah. Timbul persoalan dikalangan yang hadir, apakah kaitannya ceramah berkaitan kumpulan Khawarij dengan bulan ramadhan. Penceramah berkenaan dengan mudah telah meletakkan satu kayu ukur penentu atau standard bahawa mana-mana individu atau kumpulan yang menentang pemimpin Islam di Malaysia atau menentang kerajaan yang memerintah, maka individu atau kumpulan tersebut adalah kumpulan Khawarij. Kenyataan tersebut jelas merupakan satu cubaan untuk mengaitkan PAS dengan kumpulan Khawarij. PAS Kuala Kangsar merasa amat kesal dan dukacita kerana penceramah tersebut telah menyampaikan ceramah yang mengelirukan, tidak cermat mengeluarkan hujah dan berniat jahat.

PAS Kuala Kangsar menyelar tindakan biadab UMNO kerana menggunakan masjid institusi pengajian tinggi sebagai tempat menyerang PAS dan melakukan kempen politik kepada pelajar-pelajar kolej. Tindakan tersebut jelas menggambarkan UMNO dalam keadaan terdesak sehingga sanggup mencemar kesucian masjid dan kemulian ramadhan demi untuk menjamin UMNO terus mendapat sokongan masyarakat.

PAS Kuala Kangsar meminta agar Pusat Islam KISDAR menjaga sensitiviti pelajar-pelajar dan penduduk tempatan yang mengerjakan solat di masjid KISDAR. Pelajar-pelajar KISDAR tidak hanya terdiri dari anak-anak orang UMNO tetapi anak-anak orang PAS juga ramai yang belajar di KISDAR. Begitu juga penduduk tempatan tidak semua yang datang mengerjakan solat di masjid KISDAR adalah orang UMNO tetapi ramai juga orang PAS mengerjakan solat di masjid KISDAR. Adalah tidak wajar sama sekali masjid KISDAR dijadikan medan ceramah politik kepartian dan dijadikan pusat indoktrinisasi ideologi UMNO kepada para pelajar mahupun ahli jamaah masjid. Oleh itu Pengarah Pusat Islam KISDAR Ustaz Amali Bin Ahmad Amhuri wajar dipersalahkan dan perlu bertanggungjawab kerana telah menyinggung perasaan dan mengguris hati ahli jamaah masjid. Sehubungan dengan itu PAS Kuala Kangsar mendesak agar Pusat Islam KISDAR segera memohon maaf kepada ahli jamaah masjid.

PAS Kuala Kangsar menasihati Pusat Islam KISDAR khususnya Pengarah Pusat Islam agar benar-benar memahami erti penghayatan ramadhan dan memahami peranan masjid. Adalah suatu yang menyedihkan Pusat Islam KISDAR yang ditadbir oleh golongan ilmuan dan cerdik pandai tetapi masih gagal memahami erti penghayatan ramadhan dan peranan masjid. Insaflah di atas segala kerja buat yang telah dilakukan itu tiada mendatangkan sebarang faedah bahkan boleh merugikan ummah dan juga telah merosakkan reputasi dan nama baik KISDAR sebagai gedung ilmu dan pusat pengajian tinggi serta sebagai pusat melahirkan generasi yang cemerlang.

Sekian, terima kasih

Dr. Raja Ahmad Al Hiss
Yang DiPertua
PAS Kawasan Kuala Kangsar

s.k. - DYTM Raja Dr. Nazrin Shah, Raja Muda Perak
- YAB Menteri Besar Perak
- Mufti Perak
- Pesuruhjaya PAS Perak


Tiada ulasan: