10 Syawal 1432H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU - Penduduk di Kampung Padang Macang, Manir dan kawasan sekitarnya gempar, apabila kawasan tanah dikorek sedalam 10.8 meter, tiba-tiba mengeluarkan bunyi pelik, sebelum mengeluarkan api setelah penduduk mengujinya dengan meletakkan batang paip PVC dan dicucuh api.
Api itu dipercayai terhasil daripada gas yang berada di kawasan tanah dikorek oleh Ramli Ngah, 57, yang juga pengorek lubang.
Menurutnya, dia memulakan kerja menggali telaga itu, setelah diarahkan tuan rumah untuk mencari punca air.
Namun katanya, apabila sampai pada kedalaman itu, dia terdengar satu bunyi pelik, seolah-olah air sedang meletup-letup dari dalam tanah.:
“Saya kemudiannya memasukkan sebatang paip PVC dan secara tiba-tiba terdengar seakan-akan bunyi gas,” katanya.
Menurutnya, dia cuba menyalakan api dengan menggunakan pemetik api di corong paip PVC dan ternyata, ia mampu menyalakan api, dan ia mengeluarkan sedikit bau seakan bau belerang.
Penemuan itu, kemudiannya tersebar dalam kalangan penduduk kampung sehingga menarik perhatian mereka untuk melihat lebih dekat kejadian itu.
Tinjauan mendapati, selain orang ramai, turut hadir ke lokasi, Polis Diraja Malaysia dan Petronas Wilayah Pantai Timur, Kuala Terengganu bagi melakukan tinjauan berhubung gas yang keluar dari lubang terbabit.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd Fauzi Muda berkata, setakat ini, punca kejadian masih disiasat dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Geosains dan Mineral serta Jabatan Tanah dan Galian.
Menurutnya, walaupun gas yang keluar itu tidak berbahaya kepada orang ramai, pihak berkuasa tetap mengambil langkah keselamatan dengan menutup tempat itu.
Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu mengesah kan gas itu, dikenali sebagai gas Methane, selepas pihaknya melakukan siasatan terhadap penemuan itu.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan