10 Syawal 1432H. [MOD] -
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mungkin berdepan kontroversi baru apabila berkata, sekiranya diadakan referendum atau pungutan suara sejurus selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman tidak akan menjadi perdana menteri yang pertama.
Ini kerana, tambahnya, pengaruh pejuang kemerdekaan sayap kiri – yang rata-rata dikehendaki British dan pertubuhan mereka diharamkan – amat kuat ketika itu.
“Kalau dibuat referendum antara Tunku Abdul Rahman, (pengasas Umno) Datuk Onn (Jaafar) dan (pemimpin kiri) Burhanudin Helmy, sudah tentu Burhanudin Helmy akan jadi perdana menteri Malaysia yang pertama.
“Tetapi mereka ini (golongan kiri) ditangkap, diburu dan pertubuhan mereka diharamkan,” katanya yang sebelum itu sinis apabila merujuk kemerdekaan tanah air sebagai “merdeka in bracket”.
Mempertahankan sumbangan golongan itu dalam menuntut kemerdekaan, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau tidak menolak pemimpin Umno dibariskan tetapi tokoh-tokoh lain juga tidak harus diketepikan.
“Perayaan merdeka ini sudah macam perayaan Umno. Cuba di televisyen letak sekali gambar Dr Burhanudin, Ahmad Boestamam, Mat Kilau... Barulah rakyat terpanggil merayakan hari kemerdekaan.
“Ini Umno saja raya,” katanya disambut gelak ketawa dan tepukan hampir 500 orang yang hadir dalam forum membincangkan perjuangan Mat Indera di Kuala Lumpur malam tadi.
Turut menjadi ahli panel forum tersebut ialah kolumnis dan bekas aktivis mahasiswa Hishamudin Rais dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari.
'Chin Peng atau Henry Gurney baik?'
Mohamad berkata, walaupun ada antara aktivis haluan kiri, seperti Rashid Maidin dimomokkan sebagai komunis dan tidak percaya pada agama, perkara itu tidak betul sama sekali.
“Dulu ada seorang menteri besar melawat kem (pemimpin Parti Komunis Malaya – PKM) Rashid Maidin dan beri bantuan kepadanya di Selatan Thailand.
“Dia terkejut, masuk saja sana, ada surau. Petang-petang Rashid Maidin mengajar bahasa Melayu dalam tulisan jawi yang telah dimusnahkan United Malay National Organisation (Umno),” katanya.
Pergi lebih jauh, Mohamad juga menimbulkan persoalan sama ada benar bekas pemimpin kanan PKM Chin Peng seorang pengganas.
Sedangkan, menurut Mohamad, Chin Peng bertanggungjawab menyebabkan kematian bekas pesuruhjaya British di Tanah Melayu Sir Henry Gurney yang menjalankan usaha membuka perkampungan baru Yahudi di Palestin sebelum dihantar ke Malaya.
“Chin Peng bunuh Henry Gurney (kanan) yang jajah Malaya. Saya hendak tanya, siapa yang baik? Henry Gurney atau Chin Peng?
“Saya tak mahu jawab. Kalau silap, mampus aku esok. Lu fikirlah sendiri,” katanya yang terkenal dengan kelucuannya itu.
Estet, lombong British
Terus mempertahankan kenyataan kontroversinya – bahawa Mat Indera yang penyerang balai polis Bukit Kepong wira sebenar dan bukan “polis British” – Mohamad berkata, beliau kini menemui buku yang ditulis seorang bekas pegawai polis tentang peranan pasukan keselamatan pada era British.
Dalam buku itu, tambahnya, bekas pegawai polis itu sendiri mengakui antara tugas polis pada masa itu menjaga kepentingan British di estet dan lombong British.
“Lebih separuh daripada buku ini tulis pasal jaga estet mana, lombong mana. Ini polis yang tulis, bukan aku,” katanya sambil menjulang buku berkulit biru itu.
Setelah diserang bertubu-tubi di media arus pertama sebelum ini, Mohamad pernah mempertahankan pendapatnya menggunakan buku terbitan Yayasan Warisan Johor berjudul Pengukir Nama Johor sebelum ia dinafikan yayasan bawah kerajaan negeri itu semalam.
malaysiakini/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan