08 September 2011

Pemimpin Somalia capai persetujuan

10 Syawal 1432H. [MOD] -

PERDANA Menteri Somalia, Abdiweli Mohamed Ali menandatangani perjanjian komitmen untuk melaksanakan pembaharuan politik di negara itu sambil diperhatikan oleh Presiden Somalia, Sheikh Sharif Sheikh Ahmed (kiri) dan Presiden Wilayah Galmudug, Mohamed Warsame Ali (kanan) di Mogadishu, semalam. - AFP

MOGADISHU 7 Sept. - Para pemimpin Somalia semalam menandatangani perjanjian politik yang termasuk rancangan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh setahun, dengan objektif untuk menubuhkan sebuah kerajaan tetap bagi menggantikan pentadbiran peralihan yang tidak berkesan selama ini.

Mengikut perjanjian itu, kerajaan peralihan komited untuk merangka Perlembagaan baru, melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran dan perkhidmatan keselamatan dan mengadakan rundingan dengan kumpulan pemberontak bersenjata.

Perjanjian itu juga menetapkan, tentera Kesatuan Afrika (AU) yang menyokong kerajaan peralihan di Mogadishu hendaklah juga ditempatkan di luar ibu negara ini.

Masyarakat antarabangsa akan memberikan bantuan kewangan berdasarkan peruntukan perjanjian yang dicapai.

Kerajaan buat masa ini tidak mendapat bantuan langsung daripada penderma Barat yang bimbang tentang rasuah.

Namun sejak lebih dua tahun lalu, kerajaan peralihan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima bantuan wang tunai puluhan juta dolar, kebanyakannya dari negara Arab. - Agensi

Tiada ulasan: