15 September 2011

Pemuda PAS akan dedah 10 IC palsu setiap hari

17 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mendedahkan kepada media, 10 kad pengenalan palsu setiap hari bermula hari ini.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi DPPM, Suhaizan Kaiat berkata, usaha itu bertujuan mendesak pihak kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kewujudan kad pengenalan palsu yang boleh memberi ancaman kepada negara.

Katanya, Pemuda PAS mahu pihak yang bertanggungjawab terhadap manipulasi pilihan raya dengan menggunakan kad pengenalan palsu didakwa di mahkamah dengan segera.

Menurutnya, asas-asas yang membuktikan kad pengenalan palsu adalah kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam The Star pada 24 Julai 2011 yang menyatakan bahawa terdapat kad pengenalan klon (palsu) dalam daftar pemilih sah SPR.

Di samping itu, ujarnya terdapat dua nama yang sama di mana nombor kad pengenalan kedua-duanya hampir sama.

Katanya, kedua-dua identiti itu hanya dibezakan oleh beberapa digit nombor kad pengenalan sahaja.

Selain itu, katanya maklumat pengundi palsu itu pernah diwartakan oleh SPR sebagai pengundi.

Selepas Pemuda PAS membuat pendedahan, katanya SPR telah mengeluarkan daripada daftar pemilih sah atas alasan tiada rekod dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dihubungkan melalui sistem ALIS (Agency Link-Up System).

“Atas asas ini, maka kami berkeyakinan penuh bahawa kad pengenalan yang terbabit adalah 90% palsu,” ujarnya.

Katanya, kewujudan kad pengenalan palsu adalah merupakan pengkhianatan kepada negara.

Tambahnya, keselamatan negara akan terjejas jika pihak yang bertanggungjawab terhadap manipulasi itu tidak dikenakan tindakan.

Tegasnya, rakyat negara ini wajib mendesak pihak kerajaan bertindak segera mengatasi masalah yang berlaku.

Justeru, beliau mengharapkan semua pihak termasuk media, pertubuhan politik, NGO, individu berpengarah dan seluruh rakyat Malaysia perlu memberi tekanan kepada pihak kerajaan bertindak membanteras pengkhianatan itu.

“Siarkanlah maklumat yang kami berikan dalam media masing-masing sama ada melalui media baru atau media elektronik atau media cetak.

“Maklumat yang kami siarkan adalah diperolehi daripada daftar pemilih yang sah dan rasmi SPR. Ia adalah maklumat public dan tidak rahsia,” ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: