15 September 2011

Mahathir Tiada Autoriti Bercakap Soal Sejarah


17 Syawal 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Tun Dr Mahathir berdiam diri dari bercakap soal sejarah negara kerana beliau bukan ahlinya untuk bercakap demikian. Ini ekoran kenyataan beliau yang menyokong Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British.

Kenyataan Tun Dr Mahathir menyebabkan rakyat semakin keliru terhadap sejarah kemerdekaan negara. Dengan kenyataan penuh kontroversi oleh Profesor Zainal Kling telah menimbulkan keserabutan dalam pemikiran rakyat Malaysia, Tun Dr Mahathir pula menambah lagi kekeruhan terhadap rakyat Malaysia.

Banyak persoalan yang bermain di fikiran rakyat sekarang ini, jika Malaya tidak pernah dijajah, mengapa kita sambut Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun? Dan jika Malaysia tidak pernah dijajah, apakah UMNO boleh dianggap pejuang kemerdekaan?

DPPM menegaskan, Tun Dr Mahathir bukan ahli sejarah yang layak memberi komentar terhadap apa yang pernah berlaku. Beliau hanyalah seorang ahli politik negara. Sejarah perlu dibentangkan dengaan fakta dan kajian ilmiah secara terperinci. Justeru, beliau tidak berhak memberikan pandangannya mengenai sejarah negara.

Apakah Dr Mahathir berani mengaku bahawa UMNO bukanlah pejuang kemerdekaan sebenar kerana negara tidak pernah dijajah. Apakah juga Dr Mahathir mahu menafikan sumbangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang diangkat selama ini seperti Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang dan lain-lain? Beranikah Tun Dr Mahathir menyebut bahawa British layak diangkat sebagai pejuang negara manakala Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Bostamam, Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Saleh, Rentap, dan lain-lainnya sebagai pengkhianat negara?

DPPM menjelaskan gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan lebih dahulu ditubuhkan sebelum UMNO. Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada 1938, diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 1945 dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API)yang ditubuhkan pada Februari 1946 ,

Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). UMNO hanya ditubuhkan pada tahun 1946 lewat beberapa tahun selepas penubuhan gerakan-gerakan ini.Saat gerakan nasionalis kiri ini melaungkan slogan merdeka ,UMNO masih dengan slogan “hidup Melayu”.
UMNO pula telah diharamkan pada tahun 1988. UMNO yang ada kini hanya UMNO baru yang ditubuhkan selepas diharamkan tahun 1988.

Roh UMNO zaman ‘kemerdekaan’telah berkubur sejak itu. Zaman Tun Dr Mahathir yang menyebabkan UMNO diharamkan. Apakah Tun Dr Mahathir melupakannya dan mahu sejarah menggelapkan sejarah ini.
DPPM mempunyai pandangan yang tegas bahawa Dr Mahathir hendaklah berdiam diri dalam isu untuk tidak menyerabutkan lagi perbahasan sejarah kemerdekaan yang berlaku.

Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: