9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
BESUT - Seorang pemandu ambulans dari Hospital Daerah Besut lebam mata kiri setelah ditumbuk seorang lelaki kerana didakwa lambat tiba untuk membawa isteri lelaki itu ke hospital.
Kejadian di Taman Abdullah, Alor Lintah, dekat Jerteh pada 2.45 pagi tadi, disaksikan seorang Pegawai Perubatan dan dua jururawat yang datang bersama dalam ambulans itu yang dipandu Mahadi Mohd Jaafar, 39.
Mahadi, yang turut cedera di pipi kiri, memberitahu pemberita bahawa pada 2.30 pagi beliau menerima arahan daripada pegawai bertugas untuk mengambil seorang wanita yang sakit untuk bersalin di kawasan perumahan itu.
Katanya sebelum ke rumah berkenaan, beliau terlebih dahulu mengambil seorang Pegawai Perubatan serta dua jururawat dan tiba di rumah pesakit 15 minit kemudian.
"Sebaik tiba di rumah itu, seorang lelaki terus marah dengan mengatakan kami lambat sampai dan dia secara tiba-tiba menumbuk muka saya sekali di bahagian pipi dan mata kiri," katanya.
Katanya lelaki itu bagaimanapun ditenangkan anggota keluarganya yang lain. Ketika kekecohan berlaku, Pegawai Perubatan dan dua jururawat itu membantu wanita berkenaan melahirkan sepasang anak kembar.
Mahadi berkata beliau membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Jerteh 40 minit kemudian selepas menghantar wanita dan dua bayi kembar itu ke hospital.
Ketua Polis Daerah Besu, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria yang dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan