07 Oktober 2011

PKR: Serangan gas pemedih mata keterlaluan

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Jumlah 262 kanister gas pemedih mata yang digunakan untuk menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu adalah tidak seimbang dengan keperluan sebenar untuk memantau demonstrasi aman, kata naib presiden PKR, N Surendran.

"Tidak boleh dinafikan, bukti-bukti menerusi video dan gambar menunjukkan perhimpunan tersebut adalah aman," katanya.

Surendran yang juga seorang aktvis hak asasi manusia, berkata jumlah kelongsong gas pemedih mata yang begitu banyak menunjukkan bahawa pihak polis melepaskan tembakan sewenang-wenangnya dengan tujuan untuk menakut-nakutkan rakyat dan menghukum mereka yang menyertai perhimpunan itu.

Katanya, ini tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat semata-mata menyatakan hak mereka untuk berhimpun mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Disusuli cubaan kerajaan untuk memburuk-burukkan imej BERSIH 2.0, Surendran berkata polis juga telah disalahgunakan untuk memenuhi agenda BN.

"Polis digunakan bagi memastikan kegagalan perhimpunan tersebut dan meranapkan pergerakan BERSIH yang menuntut supaya pilihan raya yang adil dan bebas di adakan di negara ini.

"Ini adalah penyalahgunaan kuasa yang jelas untuk melanjutkan agenda politik sempit BN untuk terus berkuasa," katanya.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: