21 November 2011

Bila Mesir akan aman?

25 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KAHERAH - Rakyat Mesir menggulingkan pemimpin kuku besi negara itu, Hosni Mubarak dengan harapan mendapat kebebasan dan keamanan serta kehidupan lebih baik pada masa depan.

Namun jika diukur dengan perkembangan yang dapat dilihat di Mesir, lebih sembilan bulan selepas kejatuhan Mubarak, harapan penduduk negara itu mungkin masih terlalu jauh untuk dicapai.

Kekacauan terbaru berterusan buat hari kedua di Mesir, semalam, selepas pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis, kelmarin, menyebabkan dua orang terbunuh dan 676 lagi cedera.

Perkembangan ini membimbangkan kerana ianya adalah kekacauan terbesar di negara itu sejak Februari lalu dan ianya berlaku kurang 10 hari sebelum pilihan raya negara itu dijadual berlangsung.

Corak kekacauan terbaru itu dilihat serupa dengan kebangkitan rakyat Mesir selama 18 hari yang menggulingkan Mubarak, 11 Februari lalu selepas pemerintahan beliau selama 30 tahun.

Penunjuk perasaan kini menuntut Majlis Tertinggi Tentera Mesir yang meme-rintah negara itu buat sementara waktu supaya segera mengumumkan tarikh penyerahan kuasa kepada kerajaan baru yang akan dibentuk selepas pilihan raya.

Menurut laporan media, ribuan perusuh di Kaherah, Iskandariah dan Suez berarak, kelmarin, sambil melaungkan ‘Rakyat mahu gulingkan kerajaan’ semasa menyerbu ke arah polis antirusuhan yang menggunakan peluru getah dan menembak gas pemedih mata bagi menghalang penunjuk perasaan.

Perusuh dilaporkan turut memecahkan simen daripada laluan pejalan kaki dan membaling serpihannya ke arah polis semasa pertempuran di Dataran Tahrir, iaitu lokasi utama yang menjadi antara simbol revolusi dunia Arab.

Selain itu, media melaporkan sekurang-kurangnya sebuah bangunan kerajaan turut dibakar dalam kekacauan terbaru di Kaherah itu.

Undian bagi pilihan raya pertama Mesir selepas kejatuhan Mubarak dijadual bermula, 28 November ini namun ia mungkin tertangguh jika keganasan kembali tercetus di negara itu.

Majlis Tertinggi Tentera Mesir menerima sokongan rakyat untuk mengawal keadaan negara semasa permulaan pemberontakan terhadap Mubarak tetapi penduduk Mesir kini mula mendakwa institusi itu ingin mengekalkan kuasa sebagai pemerintah walaupun selepas kerajaan baru dibentuk kelak.

SINAR HARIAN/-

Tiada ulasan: