25 Zulhijjah 1432H. [MOD] -KUANTAN - Polis Pahang akan meningkatkan pemantauan di beberapa lokasi strategik bagi menangani masalah lumba haram khususnya ketika musim cuti sekolah ini. Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata anggota polis diarah berpakaian preman bagi memantau dan menangani masalah lumba haram. "Anggota kita akan terus melakukan penyamaran di beberapa lokasi strategik untuk memburu pengguna jalan raya yang gagal mematuhi undang-undang, khususnya lumba haram," katanya di sini hari ini. Beliau berkata polis juga akan memantau kesalahan lain seperti gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memandu tanpa lesen serta cukai jalan tamat tempoh. Sementara itu, sebanyak 83 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam satu pemeriksaan yang bermula pukul 1 hingga 4.30 pagi tadi di Jalan Bukit Rangin-Jalan Kuantan By-Pass. Zainalabidin juga berkata polis menerima aduan jalan itu sering dijadikan tempat lumba haram oleh penunggang motosikal, terutama pada malam minggu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan