23 November 2011

Sukan SEA: Harimau Muda dapat RM30,000 seorang

27 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Skuad Harimau Muda kendalian jurulatih Ong Kim Swee yang mengekalkan pingat emas Sukan SEA akan menerima ganjaran RM30,000 seorang daripada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah.

Berita itu diumumkan pengurus skuad negara Datuk Hamidin Mohd Amin malam tadi.

“Selepas perlawanan menentang Indonesia semalam, Presiden FAM Sultan Ahmad Shah bersetuju mengurniakan RM30,000 seorang bagi setiap pemain di atas kejayaan gemilang mereka itu,” katanya dipetik Bernama Online.

Dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta kelmarin skuad bawah 23 tahun negara itu menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Indonesia muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA kali ini dengan 182 pingat emas manakala Malaysia di tempat keempat dengan 59 emas.

Hamidin berkata skuad itu juga akan dihantar ke Sydney, Australia mulai pertengahan bulan Disember bagi menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab terkemuka di sana.

“Selepas mesyuarat teknikal FAM sebentar tadi, kami telah bersetuju untuk menghantar skuad kendalian Ong Kim Swee ini untuk ke Austalia dan Alhamdullilah Majlis Sukan Negara (MSN) turut menerima dan menyokong hasrat kami ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap peminat bola sepak datang beramai-ramai untuk menyokong Skuad Harimau Muda pada perlawanan kelayakan pra-Olimpik menentang Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Beliau berkata setakat semalam penjualan tiket bagi perlawanan agak mengecewakan dengan hanya 2,000 tiket telah dijual.

Tiket bagi perlawanan itu dijual dengan harga RM40 (Grandstand) dan RM20 (Terbuka).

MALAYSIAN INSIDER/-

Tiada ulasan: