13 Disember 2011

Sultan Kedah harap Malaysia terus aman

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berharap Malaysia akan terus aman damai dan semua kaum hidup dengan persefahaman dan bertoleransi.


Baginda gembira kerana secara keseluruhannya perpaduan rakyat adalah baik serta boleh ditingkatkan jika semua pihak meletakkan kepentingan negara lebih daripada kepentingan kaum atau politik.

Sultan Abdul Halim yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima bagi tempoh 21 Jan 1970 hingga 20 September 1975, mengimbau kembali peristiwa pahit pada 13 Mei 1969 dan berharap ia tidak harus dibiarkan berlaku lagi.

“Kadangkala orang politik mengambil jalan mudah untuk mengekalkan populariti dengan memainkan isu agama dan perkauman. Inilah yang membuatkan keresahan dan kucar-kacir dalam masyarakat,” titah baginda.

Sultan Abdul Halim, 84, yang berkelulusan dalam bidang sains sosial dan pentadbiran awam dari Wadham College, Oxford, United Kingdom bersyukur kerana pertama kali baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein merupakan Perdana Menteri pada masa itu dan kali ini anak Abdul Razak, Datuk Seri Najib pula menjadi Perdana Menteri.

Menyentuh mengenai kemajuan dan pencapaian negara sejak 54 tahun mencapai kemerdekaan, baginda bertitah, Malaysia telah mencapai usia yang matang.

“Jadi pemimpin dan rakyat haruslah juga matang membuat sesuatu tindakan.

“Kekuatan negara kita terletak kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam serta untuk kemajuan masa hadapan, dua perkara ini haruslah dipertahankan,” titah baginda yang pernah menyertai perkhidmatan awam negeri Kedah pada 1950an sebelum dilantik sebagai pemangku Sultan Kedah pada Mac 1957 apabila ayahandanya, Almarhum Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid, berangkat ke luarnegara.

Baginda menaiki takhta pada 15 Julai 1958 selepas kemangkatan Sultan Badlishah dan ditabal sebagai Sultan Kedah ke-28 pada 20 Februari 1959.

Sinar Harian

Tiada ulasan: