13 Disember 2011

Pemanggil bom palsu diikat jamin

17 Muharram 1433H. [MOD] -

TAPAH - Mahkamah Majistret Tapah membenarkan ikat jamin ke atas tertuduh, N Navindran, 25 yang didapati bersalah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana membuat panggilan palsu, di sini, pagi semalam.

Navindran yang diwakili peguam, V Santhiran didapati membuat panggilan palsu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah kira-kira jam 1.45 pagi, mengatakan sebiji bom diletakkan di jambatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Bidor ke Tanjung Malim, pada 1 Disember lalu.

Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izalina Rajaai di hadapan Majistret Fairuz Adiba Ismail yang berpuas hati dengan hujah yang disampaikan.

Dalam hujahnya, Nurul Izalina meminta mahkamah memberi ikat jamin sebanyak RM10,000 ke atas tertuduh kerana menyebabkan kerugian kira-kira RM500,000 kepada KTMB, selain mengganggu perjalanan penumpang.

Santhiran bagaimanapun merayu kepada Fairuz Adiba untuk mengurangkan kadar ikat jamin ke atas Navindran kerana pendapatannya sebagai jurujual hanya antara RM700 hinnga RM800 sebulan.

Berpuashati dengan hujah peguam bela dan pendakwa raya, Fairuz Adiba menetapkan ikat jamin sebanyak RM6,000 ke atas Navindran bersama seorang penjamin, selain diminta untuk menyerahkan pasportnya kepada pihak berkuasa.

Sinar Harian

Tiada ulasan: