13 Disember 2011

Suami, dua isteri ditahan

17 Muharram 1433H. [MOD] -

SERI ISKANDAR - Kelicikan suami dan dua isterinya melakukan kegiatan pecah kereta secara berkumpulan mengundang padah apabila ketiga-tiga mereka berjaya ditahan di Pasir Putih, Ipoh, 8 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, penahanan tiga suspek itu, berjaya menyelesaikan lima kes kecurian melibatkan kejadian pecah kereta.

Menurutnya, pihaknya menjumpai lapan komputer riba dianggarkan bernilai RM15,000 yang dipercayai dicuri oleh suami dan dua isterinya sebelum menjual barang itu kepada seorang pembeli di Ipoh.

“Modus operandi, mengumpil kereta mangsa yang diletakkan di parkir setelah mangsa meninggalkan kereta berkenaan.

“Suspek bersama dua isteri dan seorang anak akan berlegar-legar di kawasan letak kereta untuk mencari kereta yang boleh di pecah,” katanya.

Mohamad Fakri berkata, apabila melihat ada kereta yang boleh dijadikan sasaran, salah seorang isteri akan mengekori mangsa masuk ke pasar raya bagi memerhatikan mangsa.

“Manakala suspek bersama seorang lagi isteri akan melakukan kerja-pecah kereta ini.

“Isteri yang mengekori mangsa akan memaklumkan jika mangsa selesai beli-belah dan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menemui beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan untuk tujuan pecah kereta antaranya empat pemutar skru pelbagai warna dan saiz serta besi penyangkut.

“Kita juga menemui lima peranti storan media (pendrive), dua kad anggota Rela, enam pelbagai kad, 29 rangkai kunci kereta pelbagai jenis, 16 biji nar pengetat tayar, 12 suis kunci kereta, lima telefon bimbit pelbagai jenis dan satu kamera digital yang dipercayai barang curi,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang juga seorang mekanik, menjual komputer riba itu dengan harga RM400 hingga RM500 kepada pembeli.

“Kebanyakan mangsa adalah pelajar Institut Pengajian Tinggi sekitar daerah ini.

“Kes ini dilaporkan sejak Jun lalu sehingga kini dan kita percaya dengan penangkapan ini kita berjaya membongkar banyak kes lain” katanya.

Katanya, rentetan itu, pembeli komputer riba berkenaan turut ditahan di sebuah pasar raya di Ipoh.

Kes disiasat di bawah Akta 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi suspek dan kedua isterinya manakala, pembeli komputer riba disiasat di bawah Akta 379/411 Kanun
Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh di penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: