28 Januari 2012

NFC: Najib perlahan, tidak telus dan tidak berani


TUMPAT, 28 Jan: PAS menyifatkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak amat perlahan, tidak telus dan tidak berani dalam menyelesaikan isu penyelewengan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

(Selamat Tahun Baru Cina...Kamarudin meraikan orang Cina di Tumpat)
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, ekoran itu, rakyat dapat menilai sama ada Najib benar-benar ikhlas untuk menghapuskan rasuah di negara ini.

Beliau mendakwa dalam kes membabitkan Menteri Kabinetnya (yang dikaitkan dengan skandal NFC), Najib dilihat tidak berani mengambil tindakan berkesan khususnya untuk menghapuskan rasuah.

“Kes NFC itu didakwa melibatkan menteri Kabinet beliau sendiri, makin menunjukkan bahawa PM tidak berani mengambil tindakan yang ada kaitan dengan rasuah dalam negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Kamurudin yang juga Anggota Parlimen Tumpat berharap rakyat akan dapat menilai dengan jelas sama ada Najib benar-benar ikhlas untuk menghapuskan rasuah Di Malaysia.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis pemimpin bersama masyarakat Tiong Hwa sempena sambutan Tahun Baru Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri Pasir Pekan dekat sini petang semalam.

Turut Hadir Timbalan Menteri Besar yang juga Adun Pasir Pekan Datuk Ahmad Yaacob dan anggota Exco yang juga Adun Kota Lama, Datuk Anuar Tan.

Hadir sama pemimpin masyarakat pelbagai kaum, aktivis parti dan penduduk tempatan.

(Gambar: Kamarudin, Ahmad dan Anuar memberikan ang pau sempena Tahun Baru Cina)

Kamarudin melahirkan rasa gembira dan bersyukur lantaran masyarakat Tiong Hwa termasuk kaum Thai di Parlimen Tumpat dan di kawasan lain di Kelantan, memberi kerjasama erat kepada program dianjurkan kerajaan.

“Ini saya yakin adalah ‘reaksi balas’ masyarakat itu kerana mereka dapat melihat sendiri bahawa kerajaan PAS telah berpuluh tahun dengan amalan ikhlas memberi perhatian berat kepada kebajikan, menjaga kebudayaan, menghormati amalan serta memberi perlindungan kepada rumah-rumah ibadat mereka,” katanya.


Tidak telus

Kamarudin mendakwa, kerajaan Persekutuan sememangnya perlahan dan tidak telus dalam menyelesaikan kes membabitkan NFC itu.

Beliau mendakwa, isu itu kini amat membimbangkannya, dan dalam masa yang sama, ada percubaan untuk mengkritik Jabatan Audit Negara walau pun Ketua Audit Negara telah muncul sekali lagi mempertahankan laporan mereka (termasuk mengenai penggunaan dana RM250 juta oleh NFC).

“Pihak Audit sekali lagi mengatakan bahawa mereka tidak tersilap dalam membuat kesimpulan mereka bahawa ada masalah dari segi penggunaan wang negara yang bernilai RM250 juta itu.

“Ketua Audit Negara pun memberi bayangan bahwa tindakan seterusnya mesti diambil oleh jabatan dan agensi kerajaan yang lain termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.-HD

4 Rabi'ul Awal 1433H

Tiada ulasan: