PETALING JAYA, 28 Jan: PKR menyatakan rasa amat kesal terhadap keengganan pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyahut seruan Datuk Seri Anwar Ibahim untuk berdebat secara terbuka.
Bagi Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) Ketua Penerangan PKR, alasan yang diberikan begitu memual dan menjengkelkan.
Sikap ini menampakkan betapa purbanya cara berfikir kepimpinan parti ini dan betapa gentarnya UMNO untuk berbicara secara bersemuka mengenai hak rakyat, katanya.
Anwar mengajak Najib berdebat mengenai beberapa isu kritikal semasa – politik, ekonomi dan kebajikan rakyat - yang sedang hangat diperkatakan kini.
Namun sehingga kini Najib dikatakan tidak bersedia.
Bagi Dr Muhammad Nur, sikap ini jelas menunjukkan Umno belum berhenti dari muslihatnya untuk terus memperbodoh dan menindas minda rakyat.
Dengan ini, katanya, kuasa memerintah negara terus kekal di tangan dan pelbagai penyelewengan mudah diteruskan tanpa sekatan.
"Apa yang kita pasti, sikap ini adalah manifestasi dari lesunya daya fikir dan intelek kepimpinan mereka dalam menghadapi realiti politik semasa dunia yang mengamalkan budaya telus dan terbuka," katanya.
Sesungguhnya, PKR ingin menegaskan pendirian bahawa debat antara pemimpin adalah tradisi mana-mana kepimpinan silam bagi semua tamadun, katanya.
Di dalam Al Quran sendiri Allah SWT menjelaskan:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl: 125).
Hakikatnya, budaya debat adalah amalan lumrah para ilmuan dan kepimpinan silam. Melaluinya, kebenaran akan lebih terserlah dan “insight” baru dapat dicernakakan demi kepentingan negara dan rakyat.
Lebih penting, kata beliau, rakyat diberi peluang menilai secara empirikal dan adil akan ketrampilan dan keikhlasan kepimpinan yang akan diberikan amanah mengurus negara pada masa depan.
"Inilah demokrasi sebenar yang dituntut oleh rakyat.
"Kitapun merasa aneh mengapa pula pihak DS Najib tidak punyai keberanian menyahut cabaran ini. Sedangkan, beliau sendiri dikatakan selalu mempamirkan gaya pidato yang tidak kurang hebatnya semasa berucap di khalayak umum di mana-mana," katanya lagi dalam kenyataan itu.
Beliau sebenar lebih beruntung kerana dikelilingi ratusan pegawai dan pembantu yang bersiap siaga dengan bekalan idea dan maklumat jika diperlukan, tambah Dr Muhamad Nur.
Sesungguhnya, tambah beliau, PKR merasa kesal akan betapa hina dan rendahnya pandangan Umno/BN terhadap rakyat Malaysia yang bersifat majmuk ini.
"Selepas memerintah negara selama 54 tahun, jika benarlah rakyat masih belum mampu menerima debat kepimpinan secara terbuka, bukankah ini merupakan bukti kegagalan UMNO/BN sendiri?" soalnya.
Sehubungan itu, beliau berpendapatan, pemimpin yang enggan bersemuka dan bertentang mata memberikan persepsi ketidakikhlasan dan ketidakjujuran.
Ia mempamirkan bahawa ada rahsia yang mahu disorokkan. Apakah sebenarnya mahu disembunyikan dari rakyat itu? Umno/BN wajib menjelaskannya, pinta beliau.-HD
3 Rab4'ul Awal 1433H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan