SESUNGGUHNYA perselisihan antara umat manusia disebabkan penerimaan terhadap sesuatu isu dan sejauh manakah kebijaksanaan mereka menangani isu itu. Ini fitrah sejak diciptakan Adam ketika Allah SWT menciptakan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika Tuhanmu menyeru para Malaikat seraya berkata: Aku akan menciptakan manusia sebagai khalifah di bumi. Malaikat menyahut: Apakah Kamu akan menjadikan makhluk yang melakukan kerosakan dan pertumpahan darah sebagai khalifah, sedangkan kamilah makhluk yang sentiasa bertasbih kepada-Mu. Firman SWT: Aku lebih mengetahui dari apa yang kamu tidak ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)
Perselisihan seumpama ini akan terus menjadi fenomena umat sehingga berlakunya kiamat. Justeru, ia juga sebagai ujian bagi mereka seperti dirakamkan Allah SWT dalam firman bermaksud: “Dan kami jadikan sebahagian dari kamu berselisih pendapat sebagai ujian bagi kesabaran yang kamu miliki.” (Surah al-Furqan, ayat 20)
Dan kami jadikan sebahagian dari kamu berselisih pendapat sebagai ujian bagi kesabaran yang kamu miliki. - Surah al-Furqan, Ayat 20 Penilaian kepada hasil ujian ini akan menghasilkan beberapa golongan antaranya mereka yang bijak dan berwawasan, tidak kurang juga mereka terus menanamkan sifat kebencian berpanjangan lantaran pemikiran mereka yang sempit.
Lidahnya akan mendahului hati dan pemikiran lalu keluarlah ucapan tidak layak sebagai seorang beriman. Begitu juga yang menggunakan mata pena melalui penulisan untuk merealisasikan matlamat walaupun hanya pandangan semata-mata di mana kepastian dan kebenaran masih samar.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Firaun berkata: Aku hanya kemukakan pandanganku dan semuanya untuk kebaikan kalian semua.” (Surah Ghaafir, ayat 29)
Contohi Imam Syafie ketika berada di makam Baginda SAW dengan menyebut kalimah penuh pengajaran untuk semua: “Semua pandangan boleh diterima atau ditolak melainkan pandangan empunya kubur ini.”
Syaitan mempunyai strategi tersendiri dalam usaha mencipta permusuhan di kalangan manusia sehingga pada waktu kecederaan di mana tiada jalan untuk mereka berbuat demikian.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan berputus asa untuk mengganggu mereka bersolat di kalangan penduduk kepulauan Arab tetapi dia berjaya mencipta permusuhan di kalangan mereka.” (Hadis riwayat Muslim)
Orang mukmin sebenar ialah mereka yang bertindak sebagai penasihat yang berjaya menyatukan semua kumpulan tanpa mencipta sebarang kerosakan. Selain, disulamkan doa yang baik untuk kesatuan umat serta memastikan segala pandangan serta kritikan sebagai batu loncatan untuk menjana pengalaman dan kejayaan pada masa depan.
Perlu diingatkan, Allah SWT boleh saja menjadikan manusia berada di satu landasan tanpa berselisih, ia sunnatullah yang akan berlaku demi kebaikan manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah SWT boleh menjadikan kamu satu umat jika dia (Allah) kehendaki tetapi mereka akan sentiasa berselisih melainkan mereka yang mendapat rahmat.” (Surah Hud 118 dan 119).
Ini menunjukkan perselisihan yang menemui jalan penyelesaian satu rahmat daripada Allah SWT. Kitab suci al-Quran sarat kelebihan untuk mereka yang berdamai dalam kesepakatan pada sesuatu perselisihan.
Lebih 30 kali diulang perkataan damai antaranya, perdamaian membawa kebaikan dalam surah An-Nisa’, ayat 128; bertakwalah kepada Allah dan berdamailah antara kamu (surah Al-Anfal, ayat 1); jika ada di kalangan dua golongan berselisih, maka damaikanlah keduanya (surah Hujurat, ayat 9); jika mereka yang berselisih dapat berdamai, maka mereka akan mendapat keredaan Allah SWT (surah An-Nisa’, ayat 35).
Sabda Baginda SAW bermaksud: “Mahukan kamu kukhabarkan akan sesuatu yang lebih baik daripada puasa, solat dan bersedekah? Itu perdamaian antara dua berselisih kerana perselisihan satu kerosakan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
4 Rabi'ul Awal 1433H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan