8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
PASUKAN keselamatan Mesir berkawal di hadapan pejabat kedutaan Arab Saudi di Kaherah, Mesir sewaktu tunjuk perasaan diadakan bagi menuntut pembebasan peguam hak asasi manusia dari Mesir, Ahmed el-Gezawi yang dituduh menghina keluarga diraja Arab Saudi.
RIYADH, Arab Saudi - Arab Saudi menutup pejabat kedutaannya di Kaherah pada Sabtu lalu dan memanggil balik dutanya sebagai tanda protes terhadap penunjuk perasaan berikutan penahanan seorang peguam hak asasi manusia dari Mesir.
Tindakan tersebut meningkatkan lagi ketegangan di antara kedua-dua buah negara yang sebelum ini sudah pun goyah berikutan kebangkitan rakyat di rantau Arab.
Tindakan diplomatik Arab Saudi yang tidak diduga itu dibuat selepas beberapa ratus orang penunjuk perasaan melakukan protes di hadapan pejabat kedutaan dan konsulat Arab Saudi di Kaherah serta bandar-bandar lain bagi menuntut pembebasan Ahmed el-Gezawi.
Ahli keluarga dan kumpulan hak asasi manusia mendakwa el-Gezawi ditahan kerana dituduh menghina keluarga diraja Arab Saudi. Pihak berkuasa Arab Saudi bagaimanapun menafikannya dan menyatakan el-Gezawi ditahan kerana cuba menyeludup ubat anti-kemurungan ke negara tersebut.
Pemerintah tentera Mesir, Panglima Hussein Tantawi ada meminta Raja Abdullah supaya menilai kembali penahanan el-Gezawi. Raja Abdullah juga dikatakan bersetuju untuk melihat masalah itu demi hubungan baik di antara kedua-dua buah negara yang sudah lama terjalin. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan